SINAR HARIAN
ALOR SETAR - Persatuan Pengilang Beras Cina-Melayu Kedah menyokong keputusan kerajaan menyeragamkan harga belian padi kepada RM1,200 satu tan metrik namun berharap mekanisme diguna pakai bagi menyeimbangkan harga beras dengan kenaikan itu dijelaskan.
Pengerusinya Datuk Chew Giok Kun turut menyarankan supaya subsidi beras import dihapuskan agar industri tanaman padi tempatan lebih berjaya dan operasi pengilang tidak terjejas.
Beliau berkata harga beras import yang sudah rendah tidak wajar diberikan subsidi dan sewajarnya subsidi tersebut disalurkan kepada industri beras tempatan.
"Kami ahli persatuan tiada masalah membeli pada harga yang ditetapkan tetapi logiknya apabila harga padi dinaikkan, harga beras juga turut naik. Kita tidak boleh jual beras pada harga sebelum kenaikan harga padi.
"Sekiranya harga beras kekal pada harga lama, kami mahu kerajaan menampung perbezaan kenaikan tersebut," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas kenaikan harga padi berkuat kuasa pada musim menuai akan datang.
Keputusan penyeragaman harga itu diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kota Baharu, Kelantan semalam yang antaranya bertujuan menghapuskan peranan orang tengah kerana merugikan petani.
Chew berkata sebahagian subsidi beras import yang ditarik balik boleh digunakan bagi menambah pengeluaran beras ST15 untuk memenuhi permintan golongan sasar memandangkan pengeluarannya tidak mencukupi sejak diperkenalkan pada 2009.
Persatuan Pengguna Kedah (Cake) yang turut menyokong keputusan itu mahu kerajaan memastikan pengilang tidak membuat potongan tidak munasabah.
Pengerusinya Datuk Yusoff Ismail berkata Cake menerima banyak aduan daripada petani yang tidak berpuas hati dengan pengilang swasta dan juga Bernas (Syarikat Beras Nasional) yang membuat potongan agak tinggi atas alasan padi tidak ada isi, tidak cukup masak dan basah sejak beberapa musim lepas.
"Cake memperjuangkan harga siling ini dinaikkan sejak empat tahun lepas.
Kita harap kenaikan ini mendorong petani bekerja lebih kuat meningkatkan produktiviti dan menghentikan tabiat mengambil pendahuluan daripada tauke-tauke kilang.
"Amalan mengambil wang pendahuluan ini ini bukannya rahsia...amalan ini menyebabkan petani tidak dapat menjual hasil kepada pihak lain yang menawarkan harga lebih baik," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan