Ketika ekonomi negara berada dalam keadaan gawat, dengan kenaikan harga barang, sambutan tahun baharu dilakukan di sana sini. Persoalannya, perlukah disambut Tahun Baharu Masihi setiap tahun, sedangkan setiap bangsa (agama) mempunyai tahun baharunya sendiri?
Kalau tidak disambut, apakah negara kita tidak akan maju? Jika dikumpulkan semua perbelanjaan dan persiapan sambutan yang telah dibuat selama ini, sudah tentu berbilion telah dikorbankan. Apa faedah yang diperoleh?
Peliknya, yang menaja sambutan tahun baharu adalah kalangan korporat-korporat Islam. Tahun Baharu Hijrah tidak pula ditaja. Bayangkan wang tajaan itu digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan, betapa besarnya pahala yang diperoleh.
Mungkin ada berpandangan, ini salah satu produk pelancongan. Pada saya tidak, kerana ia adalah sambutan bercorak stereotaip setiap tahun oleh kebanyakan negara di dunia yakni, dengan countdown, percikan bunga api, diikuti dengan konsert dan persembahan hiburan yang mengarut.
Kenapa kita perlu terikut-ikut dengan rentak Barat? Inilah bahayanya jika pemikiran kita tidak diasaskan dengan agama.
Kita, rakyat Malaysia ada identiti sendiri, umat Islam dengan Tahun Baharu Hijrah atau Maal Hijrah yang telah disambut pada 5 November 2013. Bukankah memudah perkiraan zakat? Begitu juga dengan orang Cina dengan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 31 Januari 2014. Tidak ketinggalan orang India dan yang lain.
Saya tidak kata, kita tidak boleh langsung menyambut tahun baharu. Sambutlah, tetapi muliakan jati diri atau identiti sendiri dahulu berbanding orang lain. Apatah lagi, agama Islam termaktub dalam perlembagaan, yang mana keutamaan perlu diberikan.
Permasalahannya, Tahun Baharu Masihi disambut bermula jam 12 tengah malam. Waktu yang sudah sangat lewat untuk anak-anak kita berada di luar rumah. Macam-macam perkara boleh berlaku. Apatah lagi ibu bapa sudah tidak kisah, sama ada anaknya balik rumah atau tidak. Tidak bolehkah kita kembali seperti zaman dahulu? Anak-anak sudah berkumpul di rumah menjelang senja (Maghrib). Kenapa senja atau Maghrib menjadi petanda?
Jawapannya, kerana mengikut perkiraan bulan Islam, waktu tersebut penanda akan berakhir satu hari dan bermulanya satu hari yang baharu. Jika begitu keadaan, kenapa jam 12 tengah malam yang ditunggu? Kita meraikan budaya siapa? Kembalikan waktu Maghrib tu, seperti mana kita menyambut Maal Hijrah. Orang Cina pun berkongsi perkara sama sebab itulah sambutan Tahun Baharu Cina bermula dengan makan besar atau reunion dinner pada waktu senja.
Pada saya, tidak menjadi ‘masalah’ untuk kita menyambut Tahun Baharu Masihi walaupun ia bukan kalendar Islam, tetapi kalendar Gregorian ciptaan Pope Gregory.
Namun, sambutannya biarlah berpada-pada. Jangan sampai menenggelamkan sambutan perayaan ibadah seperti hari raya dan sebagainya. Jika disambut untuk meraikan masyarakat berbilang kaum, maka aktiviti-aktiviti yang dijalankan hendaklah boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan.
Tiada unsur percampuran atau pergaulan bebas lelaki dan wanita yang bukan mahram yang biasanya boleh menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan.
Kandungan keseluruhan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan Islam dan norma-norma agama lain. Saya paparkan kata-kata nukilan seorang sahabat, yang juga saya lontarkan selama ini.
Sebenarnya kita lebih gembira menyambut 1 Januari daripada 1 Muharam. Lebih tahu apa itu 14 Februari daripada 12 Rabiulawal.
Lebih membesarkan hari Ahad daripada hari Jumaat. Lebih khusyuk mendengar lagu daripada azan dan alunan ayat al-Quran.
Lebih suka lepak, tidur, menonton televisyen daripada sembahyang.
Lebih tahu nama artis-artis daripada nama para Nabi dan sahabat.
Lebih suka menyebut hello, hai, selamat pagi/petang/malam daripada Assalamualaikum. Lebih suka menyanyi daripada berwirid atau bertasbih.
Lebih suka memuji manusia daripada Tuhan kita sendiri. Lebih suka membaca majalah daripada buku agama dan al-Quran.
Lebih suka pergi ke konsert merapu daripada ceramah agama. Lebih suka memaki, mencarut, mengumpat orang daripada mendoakan atau menasihati mereka. Lebih suka kemungkaran daripada berbuat kebaikan.
Lebih bangga dengan kejahilan kita daripada bersyukur dengan keimanan kita. Lebih cintakan urusan dunia daripada urusan akhirat. Lebih suka menuju ke neraka daripada syurga.
Sampai bilakah negara tercinta ini akan diberkati dan dirahmati Tuhan Yang Esa jika kita terus mengikut cara hidup barat yang merosakkan? Fikir-fikirkan wahai pemimpin tercinta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan