Khamis, 23 Januari 2014

Murid Ingkar Ke Sekolah SJKT Seaport Baharu Boleh Disingkir

MSTAR ONLINE
 
 
KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengingatkan ibu bapa murid sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Seaport, Kampung Lindungan, Petaling Jaya bahawa anak mereka menghadapi risiko disingkir dari sekolah jika terus ingkar dan gagal hadir ke sekolah baharu.

Pengarahnya Datuk Mahmud Karim dalam kenyataan hari ini berkata Kementerian Pendidikan akan membantu ibu bapa berkenaan untuk menempatkan anak-anak mereka ke sekolah berdekatan jika terdapat ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah baharu.

"Dengan perpindahan SJKT Seaport ke tapak dan bangunan baharu bermula sesi persekolahan 2014, maka operasi persekolahan di tapak dan bangunan yang lama telah ditutup dan diberhentikan sepenuhnya.

"Tindakan yang diambil ini juga adalah berdasarkan penetapan dan prosedur pihak berkuasa tempatan khususnya dalam aspek keselamatan," katanya.

Jelas Mahmud, JPN Selangor tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang musibah atau bencana yang boleh menjejaskan keselamatan murid di bangunan lama SJKT Seaport di Kampung Lindungan, Petaling Jaya.

Beliau berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengambil alih tapak sekolah lama bagi projek perumahan dan sebagai ganti, bangunan baharu dibina di Kampung Lindungan, Petaling Jaya.

Jarak antara bangunan baharu dibina dengan sekolah asal hanya 2.5 kilometer, katanya.

Beliau berkata melalui beberapa sesi perbincangan yang diadakan, sebahagian besar ibu bapa telah pun bersetuju untuk berpindah ke bangunan sekolah yang baharu.

"Walau bagaimanapun, apabila sesi persekolahan 2014 bermula, didapati segelintir ibu bapa masih kekal dengan pendirian untuk tidak berpindah," katanya.
Beberapa portal berita melaporkan 23 murid SJKT Seaport memulakan sesi persekolahan di bawah pokok di sebuah tanah lapang dengan mendakwa sekolah itu ditutup secara tiba-tiba sebelum sesi persekolahan tahun ini bermula.
Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan turut meminta ibu bapa dan penjaga murid berkenaan supaya segera memasukkan anak-anak mereka ke sekolah bagi mengelakkan masalah seperti terlepas pendaftaran sebagai calon UPSR atau mengambil peperiksaan. - BERNAMA

Tiada ulasan: