Lemah sangatkah pemimpin kita? Rakyat yang tertekan dengan kenaikan kos hidup mudah menyalahkan pemimpin.
 

YA, kita sedar mengenai isu manipulasi oleh golongan kapitalis terutama pemborong yang dikatakan jadi punca kenaikan harga barang.

Kita juga sedar mengenai apa yang disebut sebagai punca tindakan mereka, untuk mencetuskan rasa marah rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dianggap lemah dan gagal.

Akhirnya, kita akan diminta faham bahawa BN, pun seperti rakyat juga, sama-sama jadi mangsa ketamakan dan kerakusan kapitalis. Manakala golongan kapitalis pula dikatakan jadi suruhan pihak tertentu yang mempunyai motif politik!

Persoalannya, lemah sangatkah kerajaan BN hingga begitu mudah diperkotak-katikkan?

Bukankah BN sudah berpengalaman memerintah selama 56 tahun dan seharusnya mempunyai kefahaman yang cukup, juga strategi dan pelan alternatif yang mantap untuk menangani hal-hal seperti ini?

Bukankah selama ini kita bergantung pada kapitalis yang sama, dan mengapa baru sekarang mereka 'terfikir' untuk menyerang kerajaan sebagaimana yang diteorikan dan jadi laporan muka depan sebuah akhbar semalam?

Tidak. Saya tidak mempertikaikan logik laporan itu. Perhatian saya adalah mengenai apa yang boleh diandaikan sebagai punca terjadinya hal ini.

Jika benar kelam kabut kenaikan harga barang sekarang semata-mata berpunca daripada mainan kapitalis yang menjadi wayang kulit pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan pada PRU14, betapa mudah... seolah-olah survival politik tanah air kita ada pada sempoa mereka sahaja!

Lemah

Jika demikian, mengapa baru sekarang?

Apakah ini disebabkan pemimpin kita dahulu tidak seperti sekarang?

Untuk mencari jawapan pada persoalan ini, perlu direnungi prinsip asas komunikasi kepimpinan yang menyatakan apabila wujud kelemahan dalam kepimpinan sama ada secara individu atau jemaah, akan terbukalah ruang untuk dimanipulasi oleh mereka yang berkepentingan dan inilah yang saya percaya sedang berlaku.

Percayalah, golongan kapitalis tidak akan mudah untuk mengambil kesempatan jika untuk melakukannya, mereka perlu berhadapan dengan kepimpinan yang kuat lagi mendapat sokongan padu rakyat.

Walaupun hakikat kenaikan harga barang memang tidak mudah dikawal tetapi pada masa dahulu, ia tidak begitu drastik. Dan lagi kerajaan pada masa itu amat teliti mengawal faktor-faktor yang boleh mempengaruhi kenaikan harga barang, terutama barang keperluan.

Di sinilah letaknya pengaruh kepimpinan dalam ekonomi.

Akhirnya, ia akan berbalik kepada nilai-nilai yang ada pada diri pemimpin terutama komitmen, kewibawaan, kebolehan dan kecekapan untuk menangani isu-isu yang berbangkit sekali gus mengemudi tindakan dalam menghadapi situasi itu.

Kesemua nilai ini terangkum dalam apa yang disebut sebagai tindak komunikasi kepemimpinan.

Kita maklum bahawa dalam kepimpinan, amat penting bagi seseorang ahli politik mempunyai sifat interpersonal yang baik, memahami perasaan orang lain, perwatakan yang boleh dihormati serta sikap yang terpuji selain mempunyai pengalaman luas sebagaimana hujah Irgens (1995).

Ini amat diperlukan kerana tanggungjawab seseorang pemimpin adalah selaku ejen perubahan yang harus mempunyai keupayaan untuk membujuk, mempengaruhi serta mendapatkan kerjasama anggota masyarakat dalam mencapai matlamat (Rosli, 2013).

Wang & Chan (1995) pula mengutarakan beberapa ciri  kemahiran komunikasi kepemimpinan  yang  perlu dimiliki oleh seseorang pemimpin iaitu memiliki  kecerdasan,  kemampuan berfikir, mempunyai tenaga dan penampilan yang baik serta keperibadian  yang boleh dihormati.

Selain itu, pemimpin juga perlu mempunyai  sifat  assertif  untuk  melakukan  kerja,  keghairahan  menjalankan  tanggungjawab, mempunyai  kesungguhan  dan inisiatif serta kemahiran berkomunikasi.

Leceh

Meneliti pandangan sarjana-sarjana ini, kita dapat melihat bahawa elemen penghormatan oleh anggota kepada pemimpin, yang lahirnya adalah daripada kewibawaan yang ada pada diri pemimpin itu sendiri amat penting lagi diperlukan dalam proses pengukuhan kepimpinan terutama untuk mendapat sokongan.

Tanpa rasa hormat - yang tidak boleh diminta tetapi diberikan secara ikhlas dari hati yang menerima - keadaan akan jadi seperti apa yang berlaku sekarang.

Ucapan yang menyebut kangkung hanya sebagai contoh, diperlecehkan hingga jadi bahan berita sampai ke luar negara!

Itulah natijah apabila rasa sayang dan hormat kepada pemimpin sudah terlalu tipis.

Apa yang harus dipercaya, sesuatu yang berkait dengan perasaan, sifatnya adalah memberi dan menerima. Seseorang pemimpin yang mahu dirinya disayangi, juga semestinya mempunyai kasih sayang yang tulus ikhlas untuk mereka di bawah kepimpinannya!

Satu lagi elemen penting dalam kepimpinan ialah pendekatan komunikasi yang jelas lagi mudah difahami.

Dalam konteks ini, pemimpin atau ahli politik tidak seharusnya terlalu mudah memberi alasan atas sesuatu keadaan atau perkara yang diputuskan dan tidak
menyenangkan rakyat, apa lagi jika alasan itu disuarakan dengan sambil lewa dan seakan merendahkan tahap  pemikiran rakyat.

"Memberi alasan tidak akan membantu memahamkan kumpulan sasaran," komen seorang sarjana komunikasi sebuah universiti tempatan dalam emelnya kepada saya sebagai reaksi tulisan saya berjudul 'Pentingnya menteri belajar komunikasi' yang disiarkan Sinar Harian 13 Januari 2014.

Selain itu, ulasnya lagi,  pemimpin juga tidak boleh berlagak sombong atau dilihat sombong kerana kesombongan hanya akan mewujudkan lebih banyak halangan dalam komunikasi antara seseorang pemimpin dengan mereka yang dipimpin.

Dalam keadaan tertentu, sikap seperti ini juga akan mewujudkan ruang untuk dimanipulasi oleh pihak lain yang mahu menangguk di air keruh apabila hubungan pemimpin dengan rakyat tidak mesra.

Bagi saya, tidak harus ada kompromi bahawa keutamaan yang wajib bagi seseorang pemimpin adalah kesejahteraan rakyat.

Itulah sebab seseorang pemimpin diletakkan di tempatnya manakala rakyat pula meletakkannya di situ untuk mendapatkan  impak  perlindungan daripada kepimpinannya.

Justeru, saya terima dengan terbuka bahawa apa yang berlaku mungkin ada kaitan dengan manipulasi kapitalis namun saya juga percaya, kelemahan dalam kepimpinan negara juga antara punca yang membelit kita dengan kemelut ini.

Kapitalis semata-mata tidak akan beri kesan sebesar ini  kerana urus niaga mereka digerakkan bawah dasar kerajaan dan kerajaan yang kuat lagi cekap tidak akan membenarkan kuasa mereka diperkotak-katikkan!