Ahad, 12 Januari 2014

Khairy setuju cadangan Tun M, kerajaan perlu berjimat dahulu

Oleh Md Izwan


Khairy Jamaluddin Abu Bakar sokong cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Putrajaya ambil langkah berjimat. Gambar fail.Khairy Jamaluddin Abu Bakar sokong cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Putrajaya ambil langkah berjimat. Gambar fail. 


























Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyokong bekas perdana menteri paling lama Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Putrajaya terlebih dahulu perlu berjimat selepas memotong subsidi, susulan kenaikan harga barang dan tarif elekrik.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, teguran yang dilontarkan oleh Dr Mahathir perlu diambil kira memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas sebagai bekas perdana menteri.

"Isu dia tegur kenaikan harga, desak kerajaan kena berjimat.

"Saya faham hinggakan kerajaan terpaksa naikkan tarif (elektrik). Kita kena tunjukkan terlebih dahulu penjimatan dalam kerajaan," kata Khairy yang dipetik berkata dalam akhbar Berita Minggu hari ini.

Dr Mahathir tidak bersetuju dengan keputusan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menaikkan harga barang keperluan dalam meningkatkan pendapatan negara.

Beliau berkata, kerajaan sewajarnya mengurangkan kos dan menggunakan konsep ‘cost down’ bagi mengurangkan pembaziran.

"Kita faham kerajaan memerlukan lebih wang tetapi itu tidak bermakna peningkatan seperti yang diumumkan.

"Adalah lebih baik mengurangkan kos, mengekal atau mengurangkan harga. Perkara sama boleh dilakukan kerajaan," katanya dalam tulisan di blognya Che Det baru-baru ini.

Dr Mahathir berkata, kerajaan juga harus mengambil langkah penjimatan dengan merujuk semula ketirisan yang berlaku menerusi Laporan Ketua Audit Negara.

Malah, Dr Mahathir secara sinis menyindir Najib dalam isu pesawat peribadi.

Tahun lalu, Jabatan Perdana Menteri memberitahu Parlimen bahawa Putrajaya kini memiliki sekurang-kurangnya tujuh kapal terbang, termasuk jet kelas perniagaan Boeing.

Kapal terbang itu digunakan oleh VVIP termasuk Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri. Ia termasuk Falcon, Global Express, jet kelas perniagaan Boeing, Blackhawk, 2 Augusta dan Fokker F28.

Tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu Parlimen, Putrajaya membelanjakan RM14.95 juta untuk petrol dan RM160.08 juta untuk pengendalian semua jet itu.

"Kerajaan sekarang lebih kaya berbanding masa saya dahulu. Mungkin sebab itu mereka membuat penambahbaikan," kata Dr Mahathir.

Khairy menyifatkan pandangan Dr Mahathir adalah selari dengannya dalam isu penjimatan.
"Kita kena dengar pengalaman beliau, jangan terlepas pandang.

"Beliau cakap pasal penjimatan ekonomi, pandangan itu sama," kata Khairy.

Khairy juga menyatakan kesediaan supaya gaji menteri dalam Kabinet dipotong.

Harga bahan api, gula dan tarif elektrik naik selepas Putrajaya memotong subsidi manakala tambang pengangkutan awam akan meningkat pada tahun ini. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan diperkenalkan pada 2015.

Perbelanjaan kerajaan melonjak dengan bajet tahun ini sehingga RM264.2 bilion berbanding tahun lalu RM251.6 bilion di tengah-tengah kebimbangan bahawa Putrajaya tidak mengurangkan perbelanjaan walaupun meminta orang ramai untuk berbuat demikian.

Rakyat juga mencemuh pengumuman Najib baru-baru ini untuk melaksanakan 11 langkah penjimatan untuk mengurangkan perbelanjaan pada 2014.

Pakar ekonomi Najib, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menasihatkan pengguna untuk berbelanja dengan bijak dan mencari alternatif.

Bekas pegawai bank itu berkata, rakyat Malaysia perlu berjimat cermat dan hidup mengikut kemampuan mereka.

"Saya pergi ke pasar setiap minggu. Saya tahu harga barangan keperluan asas tinggi, tetapi pengguna mempunyai pilihan dalam membelanjakan wang mereka," katanya dalam satu laporan berita. –

Tiada ulasan: