Khamis, 9 Januari 2014

Kerajaan tak telus naikkan harga barang

 
Masalah sekarang ini kerajaan tak telus, beritahulah rakyat mengenai fakta sebenar, kata Ahli parlimen BN.


SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed mengakui kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak telus dalam keputusannya menaikkan harga barang.

Beliau berkata, kerajaan tidak memberitahu rakyat fakta sebenar mengenai kedudukan kewangan walaupun dan punca sebenar sehingga menyebabkan timbulnya kemarahan rakyat.

“Masalah sekarang ini kerajaan tak telus, beritahulah rakyat mengenai fakta sebenar supaya rakyat boleh rancang perbelanjaan untuk mengurangkan impaknya,” katanya dalam wacana Kejutan Ekonomi Selepas PRU13 di sini hari ini.

Turut hadir sebagai panel Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dan Pakar Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Amir Hussin Baharuddin.

Ahli Parlimen BN-Pulai itu turut menyokong kenyataan bahawa tindakan kerajaan yang merancang untuk menaikkan harga tol sebagai tidak wajar kerana kebanyakan pengendali konsesi tol dimiliki syarikat milik kerajaan sendiri.

“Kebanyakan syarikat konsesi tol dimiliki syarikat oleh kerajaan. Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dimiliki Khazanah, tuan-tuan punya juga,” katanya yang kemudiannya mendapat tepukan dan sorakan penonton di Dewan Sultan Muhammad V di Kompleks Karangkraf.

Namun katanya kenaikan harga barang adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kerajaan sudah terlalu lama menahan sedangkan harga pasaran luar dan global terus meningkat secara mendadak.

Beliau turut membidas agenda pembangkang bahawa menukar kerajaan juga bukan satu jaminan harga barang mampu kekal pada aras yang sama.

`Masalah rakyat’

“Kerajaan tak boleh selesaikan semua masalah rakyat,” katanya yang bagaimanapun enggan memberikan kenyataan mengenai jalan penyelesaian terbaik bagi menanganinya seperti menteri kabinet yang lain.

Kenyataan Nur Jazlan itu turut disokong Rafizi yang menyatakan bahawa kerajaan sepatutnya mengumumkan kenaikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lagi.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, punca utama krisis ini adalah struktur ekonomi yang lemah sedangkan pendapatan negara termasuk kutipan cukai diumum terus bertumbuh dengan baik.

“Pendapatan negara terus naik tapi BN buat cara terbalik.

“Perbelanjaan boros dan tidak terkawal lebih tinggi dari pendapatan,” katanya.

Keadaan ini menurut Rafizi akan bertambah parah apabila negara menghadapi masalah berganda, iaitu kesan inflasi dan pada masa yang sama kadar kenaikan gaji pekerja tidak mencukupi untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang.

Tegasnya, rakyat perlu terus menyuarakan bantahan kerana mampu memberi kesan yang kuat kepada sistem kerajaan.

“Ini bukan satu pemberontakan tetapi kita cuma nak suarakan bantahan,” katanya.

Tiada ulasan: