ASLANI M
KOTA BHARU: Kelantan dicadang dijadikan pusat kebangkitan Islam akhir masa (KIAM) bagi nusantara memandangkan kedudukannya dianggap sebagai jantung rantau ini.
Ketua Umum Rabitah Azmat Indonesia, KH Dr M Dhiyauddin Qushwandi Azamat Khan berkata, Kelantan sesuai dijadikan sebagai pusat penyatuan ulama rantau ini.
“Kelantan sebagai jantung ummah di nusantara. Ia juga dianggap sebagai cermin (serambi) bagi pusat pengembangan dakwah.
“Malah di sini juga ada ulama kasyaf. Dan ditambah pula dengan kekuatan kerajaan negeri yang ditadbir berpandu ajaran Islam,” katanya pada Ijtimak Ulama Nusantara di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini, hari ini.
Ijtimak tersebut dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB).
Hadir sama ulama terkenal dari Turki, Dr Sheikh Mohamed Fadzil al Jailani dan wakil Persatuan Pondok Pattani. Sebahagian peserta merupakan pelajar-pelajar pondok, imam dan guru-guru Yayasan Islam Kelantan.
Program tersebut dirasmikan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Nasuruddin Daud, anggota Exco.
Selain itu wakil-wakil rakyat, pegawai kanan kerajaan dan Pengerusi PPPB, Dr Lokman Abdullah.
Dan malam ini pula akan berlangsung solat hajat dan mahabbah Rasul di Dewan Besar Balai Islam, Lundang. Turut dianjurkan kuliah Tafsir al Jailani disampaikan Syeikh Rohimuddin Nawawi Al Bentani.
Dr Dhiyauddin juga berkata, Bukit Panau, Tanah Merah pernah menjadi pusat Islam di nusantara sebelum Islam tersebar ke Melaka dan Jawa.
Menurutnya Syeikh Jamaludin Akbar Ahmad Jalal dan Syeikh Tsanuadin Ahmad Jalal menjadikan Bukit Panau sebagai kerajaan cermin bagi pusat kegiatan pendidikan dan dakwah.
Manakala Syeikh Isa Nurullah Ahmad Jalal pula menjadikan Pulau Besar, Melaka sebagai kegiatan dakwah.
“Ketiga-tiga ulama tersebut menjadi perintis dalam permulaan eskpansi dakwah di nusantara,” ujarnya.
Beliau juga menggaris problematika umat Islam di rantau ini sekarang iaitu lemah ketakwaan, luntur ukhuwah dan semangat dakwah yang rendah.
Menteri Besar ketika berucap sebelum itu berkata, kebangkitan Islam di nusantara sebagai menyambung obor Islam yang malap di Andalusia.
Malah katanya juga, golongan ulama lebih awal bagi menentang penjajah termasuk Tok Janggut, Datuk Bahaman dan Tok Kenali.
Nassuruddin pula berkata, pada zaman lampau ramai pelajar dari seluruh nusantara datang ke Kelantan untuk menuntut ilmu agama.
Misalnya Tok Kenali mempunyai ratusan anak murid yang datang daripada kepulauan Melayu bagi menuntut ilmu di pondoknya di Kubang Kerian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan