MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR
IPOH: Seorang peserta Himpunan Turun hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mendakwa peserta himpunan pada malam 31 Disember lalu adalah 'bughah' dan halal darah mereka.
Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini kira-kira pukul 3.00 petang bersama Dewan Pemuda PAS Perak yang diketuai oleh Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss bersama Penolong Setiausahanya, Ustaz Hafez Sabri.
Khamisah Abdul Hamid, 55, berkata, kenyataan Harussani itu telah mengancam keselamatan keseluruhan ahli keluarganya yang menyertai himpunan itu.
Menurutnya, ramai yang mengetahui akan kehadiran mereka memandangkan tersiar gambar mereka di himpunan itu di dada-dada akhbar.
"Kami sekeluarga rasa diancam dengan kenyataan Mufti Perak itu, kami terpaksa melalui kehidupan yang tidak tenteram selepas fatwa itu dikeluarkan.
"Darah kami dianggap halal untuk dibunuh, ianya adalah satu kenyataan yang menggalakkan berlakunya keganasan termasuklah pembunuhan," katanya ketika ditemui Harakahdaily.
Dalam pada itu, Dr Raja Iskandar ketika ditemui berkata, fatwa songsang yang dikeluarkan oleh Harussani sangat tidak bertanggungjawab, merbahaya dan telah melanggar kepentingan awam.
Menurutnya, ianya mengundang kepada berlakunya hasutan yang mendorong kepada terjadinya keganasan hatta pembunuhan oleh kerana kenyataannya bahawasanya darah peserta himpunan itu adalah halal.
"Beliau yang berjawatan Mufti negeri Perak boleh menyebabkan masyarakat boleh salah tafsir dengan menyatakan kenyataan tersebut adalah fatwa.
"Ianya juga boleh memberi kesan negatif kepada rakyat negara ini untuk melakukan pembunuhan dan pertumpahan darah serta ketegangan orang ramai sedangkan tidak ada didalam mana-mana peruntukan undang undang boleh mengambil nyawa seseorang seperti itu," katanya.
Tegas beliau, pihak polis diharap dapat membuat satu siasatan yang terperinci tentang kenyataan itu demi kepentingan awam kerana ianya berunsur hasutan ke arah melakukan keganasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan