Khamis, 23 Januari 2014

'Anak Emak' Punca Murid Tidak Boleh Dijentik

  Oleh adikmanis 


 "APABILA kita membincangkan tentang isu guru memukul pelajar, pastinya akan menimbulkan berbagai tafsiran dan timbullah istilah guru ‘jahat’. 


Kalau seorang murid sekolah rendah, pastinya istilah guru jahat adalah gara-gara memberikan latihan atau kerja rumah yang banyak ataupun dimarahi kerana terlupa membawa buku teks.
Namun jelasnya disini, keikhlasan guru yang memberi latihan atau kerja rumah untuk meningkatkan kemahiran murid telah disalahtafsirkan sebagai ‘jahat’.
Berbeza dengan murid-murid sekolah menengah pula, pasti mengatakan guru yang ‘jahat’ akan selalu menghalang atau mengawal tindak-tanduk mereka.
Sekali lagi keikhlasan guru yang cuba mendisiplinkan mereka disalahtafsirkan sebagai ‘jahat’.
Tidak kurang pula jika melihat kes guru memukul pelajar, semestinya ibu bapa akan turut sama bersuara dan tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut.
Samada kes itu besar atau kecil, penglibatan ibu bapa masa kini terhadap anak-anak sangat proaktif terutamanya apabila melibatkan ‘sentuhan’ guru terhadap anggota badan anak mereka, maka ibu bapa mula tampil ke hadapan.
Tetapi, wajarkan tindakan dan reaksi ibu bapa tersebut?
 Memetik kes yang dilaporkan oleh Bernama dalam artikel yang disiarkan pada 11 September 2013 misalnya, dimana dua pelajar di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka mendakwa telah dipukul oleh gurunya sehingga mengakibatkan kecederaan dibahagian mata kanan dan penglihatannnya menjadi kabur.
Di Sibu pula, laporan yang dikeluarkan oleh Borneo Post pada Ogos 2013, dimana kes yang melibatkan pelajar tingkatan tiga dipukul oleh gurunya menggunakan batang penyapu sehingga mengakibatkan pelajar tersebut patah tangan.
Walaupun begitu, artikel ini ditulis bukan untuk menyalahkan pihak pendidik ataupun mempersoalkan hak ibu bapa terhadap anak-anak mereka, namun sebaliknya reaksi ibu bapa kini dilihat lebih terburu-buru dalam menghukum pihak sekolah ketika tampil membela anak-anak mereka.
Jika mengimbau pengalaman ibu bapa dahulu, apabila dengar sahaja anak-anak mereka dipukul oleh guru, sesetengah ibu bapa menggalakkan tindakan guru malah turut memberi ‘tambahan bonus’ kepada anak mereka.
Senario itu sudah berbeza dengan masa kini dimana ibu bapa akan melenting apabila anak mereka pulang dengan tangan ‘berbirat’.
Soalnya, apakah konsep ibu bapa melenting?
Aisyah Talib, 30, bekerja sebagai Pegawai Teknologi Maklumat di sebuah syarikat swasta di ibukota berkongsi pengalaman beliau yang pertama kali menghantar anak sulungnya ke sekolah.
Menurutnya, sebagai seorang ibu, beliau mengakui bahawa dia akan merasa sedikit tersentak sekiranya anak yang dihantar ke sekolah dengan harapan untuk mendapatkan pendidikan, tetapi dalam masa yang sama dikejutkan oleh tangisan anaknya.
“Ibu bapa mana yang tidak akan terkejut sekiranya anak mereka dipukul. Tidak kira apa pun kesalahan pelajar tersebut, seorang guru perlu mengikut prosedur yang ditetapkan dalam menentukan hukuman terhadap pelajar.
“Ini tidak bermaksud saya menyalahkan guru sepenuhnya, apa-apa pun sebagai seorang ibu, kita tidak boleh mendengar sebelah pihak sahaja. Kita perlu bersemuka dengan guru dan bertanyakan perkara yang sebenar,” katanya.
Walaubagaimanapun, beliau menggalakkan guru untuk mengajar dan menegur kesalahan yang dilakukan oleh murid-murid sekiranya dilihat keterlaluan kerana beranggapan ibu bapa kini lebih terbuka terhadap perkembangan pembelajaran anak-anak berbanding ibu bapa dahulu.
"Konsep melenting atau cepat melatah terhadap apa yang berlaku kepada anak-anak sebenarnya tidak wujud, hakikatnya ibu bapa kini lebih mengambil berat dan bersikap proaktif terhadap pembelajaran anak-anak dan akan kecewa jika perkara sebaliknya berlaku.
“Cabaran guru-guru di masa kini dalam mendidik pelajar lebih berat berbanding dengan masa dahulu. Ibu bapa zaman kini mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap pelajaran anak-anak mereka,” jelasnya kepada Malaysian Digest (mD).
Tidak menolak kemungkinan bahawa guru-guru boleh bertindak diluar batasan, Aisyah menasihatkan supaya ibu bapa jangan cepat mengambil keputusan sendiri dan perlu menyiasat terlebih dahulu.
“Pukul boleh, tetapi perlu ada caranya, jangan sampai menimbulkan kecederaan fizikal dan disamping itu, ibu bapa perlu bijak dalam membuat keputusan,” ujarnya.
Murid Sekarang ‘Anak Emak’
Wan Asri Wan Jusoh, 42, guru disiplin di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, Kelantan menganggap bahawa para pelajar sekarang lebih agresif dan bersifat ‘anak emak’ jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar pada zamannya.
Dia berpendapat bahawa remaja kini cepat mengadu dan memberontak dan guru-guru perlu mencari pendekatan lain agar sebarang tindakan atau hukuman yang dijatuhkan tidak disalah erti oleh ibu bapa atau pihak luar.
“Sebarang hukuman yang diambil oleh guru-guru ada batasnya, dan tidak pernah wujud soal mengikut perasaan terhadap hukuman. Cuma kini, pendekatan yang lebih bijak harus diambil, tidak perlu berkeras dan hanya menasihati.
“Kalau dahulu, ibu bapa serahkan sepenuhnya untuk kita menghukum anak-anak mereka dan mereka bersedia untuk mendengar apa yang berlaku, tetapi kini kita yang perlu mendengar penjelasan ibu bapa dan anak-anak,” katanya.
Menurut Asri yang sudah hampir 20 tahun bergelar pendidik, pihak sekolah dan guru kini lebih terdedah kepada tindakan undang-undang sekiranya gagal mengawal perasaan dalam menjatuhkan hukuman terhadap pelajar.
“Para pendidik dan pentadbir yang tidak relevan dalam tindakannya tidak akan terlepas daripada hukuman,” tambahnya yang juga seorang bapa kepada lima orang anak.
Hak Merotan Pelajar
Mengikut sumber yang dikeluarkan oleh kementerian, kuasa merotan seharusnya diketahui oleh para guru berkaitan sejauh mana tindakan disiplin boleh dilaksanakan berdasarkan dari surat arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran.
Mengikut Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 di bawah Ordinan Pelajaran 1957, Guru Besar atau Pengetua sekolah mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman kepada pelajar bagi menjaga tatatertib dalam kalangan pelajar.
Peraturan 5; hukuman kepada pelajar perempuan adalah dilarang dan hukuman untuk pelajar lelaki hanya dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan ataupun di punggung dengan berlapikkan pakaian dan dilakukan oleh Guru Besar ataupun kuasa nyata yang diberikan kepadanya.
Peraturan itu jelas diakui oleh Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan yang berkata, amalan mengambil tindakan dilakukan oleh pihak sekolah atau guru berdasarkan tatatertib yang telah ditetapkan.
Kaedah yang dicadangkan kepada para pengajar untuk mengambil tindakan terhadap pelajar adalah meliputi teguran, menasihati, memberi bimbingam kaunseling dan baharulah proses menghukum boleh diambil sekiranya kaedah-kaedah tersebut tidak berkesan kepada pelajar.
Tambahnya lagi, bagi memastikan hubungan antara guru, ibu bapa dan pelajar, sebarang masalah yang dihadapi melibatkan isu penderaan pelajar akan disiasat terlebih dahulu bagi memastikan tiada tindakan yang melulu diambil.
“Ketiga-tiga pihak akan dipanggil bagi mengetahui punca sebenar sekiranya ada dakwaan guru memukul pelajar.
“Ini bertujuan untuk memastikan hubungan ketiga-tiga pihak tidak terputus dan ibu bapa disarankan agar tidak cepat melatah terhadap sebarang isu yang melibatkan anak-anak,” katanya ketika dihubungi olehmD baru-baru ini.
Psikologi Terganggu
Menurut Pakar Perunding Psikiatrik dan Psikologi, Dr Wan Mohd Rushidi Wan Mahmud, murid atau pelajar sekolah yang dipukul mungkin akan mengalami kesan psikologi jangka pendek atau panjang.
“Pelajar akan jadi lebih takut, rendah 'self esteem' atau keyakinanan diri, lebih pasif dan tidak ceria.
“Kerapkali berlaku di kalangan mereka yg didera tanda-tanda – re-experiencing phenomena (imbas semula apa yg berlaku secara berulang), avoidance (elak daripada perkara-perkara yang mengingatkan kembali peristiwa yang berlaku) dan hypervigilence (mudah terkejut, sentiasa dalam keadaan ketakutan, gementar) disamping fobia (ketakutan) terhadap sesuatu misalnya guru atau sekolah,” katanya kepada mD.
Sumber: http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/484862-anak-emak-punca-murid-tidak-boleh-dijentik.html

Tiada ulasan: