Ahad, 5 Januari 2014

2014: Malaysia bertukar menjadi negara Islam ‘fasis’




Oleh Amin Iskandar


Tahun 2014 dibuka di Malaysia dengan petunjuk bahawa pergolakan antara agama di negara ini akan berterusan sepanjang tahun dan tidak mustahil akan menjadi semakin memburuk.

Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampas 300 kitab Injil berbahasa Melayu membuktikan Malaysia sedang bertukar daripada sebuah negara yang mengamalkan toleransi diantara agama menjadi negara Islam “fasis”.

Jika dahulu kita boleh berbangga dengan negara kita yang mengamalkan Islam sederhana, kini sudah tiada bezanya dengan Taliban yang memusnahkan patung Buddha di Bamiyan semasa memerintah Afghanistan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu mengamalkan kesederhanaan dalam pemerintahannya kelihatan terlalu lemah untuk mengawal keadaan.

Tiada lagi 1Malaysia dan dasar inklusif. Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Najib dilihat semakin gagal dalam memastikan Malaysia kekal aman untuk semua agama dan kaum.

Kuasa politik yang ada padanya tidak dapat digunakan kerana beliau bukanlah seorang pemimpin yang kuat dan tegas dalam membuat keputusan.

Saya sekarang sedang berada di sebuah “negara kafir” di Eropah tempat di mana pemimpin-pemimpin tertinggi negara membeli-belah semasa “boxing day” pada hujung tahun.

Akan tetapi sayangnya, walaupun setiap tahun pemimpin-pemimpin tertinggi negara kita melawat negara kafir ini, akan tetapi tiada apa yang mereka pelajari.

Hairan sekali bagaimana negara kafir ini begitu menghormati kebebasan beragama.

Masjid-masjid didirikan oleh komuniti Islam di sini tanpa sekatan.

Lebih mengejutkan lagi, stesen minyak di tepi lebuh raya juga terdapat surau bagi orang Islam untuk menunaikan solat dan tempat khas untuk berwudhu.

Tiada demonstrasi dilakukan penduduk majoriti Kristian di negara ini berhubung penyediaan surau di stesen minyak dan pembangunan masjid yang semakin meluas.

Pertumbuhan masjid dan surau di sini tidak dianggap sebagai “ancaman kepada akidah” mereka yang majoritinya beragama Kristian.

Mereka tetap dengan agama mereka, kita tetap dengan agama kita.

Di Malaysia sebaliknya yang berlaku. Allah yang seharusnya menjadi tuhan kepada sekalian alam bertukar menjadi tuhan kepada orang-orang Melayu sahaja.

Mengapa kejahilan ini dibiarkan? Kalau pun Najib mahu terus menang dalam pilihan raya akan datang, mengapa harus dibiarkan kebodohan dan kejahilan ini terus membarah?

Jika Najib tidak melakukan sesuatu untuk menamatkan segala kebodohan ini, tidak mustahil Malaysia yang pada satu ketika dahulu turut dibina oleh arwah ayahnya Tun Abdul Razak Hussein akan musnah.

Kalau Razak dikenali sebagai bapa pembangunan Malaysia, Najib kini dilihat tidak lebih dari bapa pemusnah Malaysia. –

Tiada ulasan: