Khamis, 3 Januari 2013

SPR nafi dakwaan sekat tugas pemerhati PRU13

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR -  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berhubung sekatan terhadap kumpulan pemerhati bebas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang disifatkan sebagai satu pembohongan untuk mengelirukan rakyat.
  
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, dakwaan yang dibuat Saifuddin itu tidak berasas dan meminta beliau tampil sendiri untuk mendapatkan penjelasan dan gambaran sebenar mengenai perkara itu daripada SPR.
  
"Saya lihat kenyataan yang dibuat beliau tidak tepat sama sekali dan menganggapnya sebagai cuba untuk mengelirukan rakyat sedangkan tuduhan yang dibuat itu langsung tidak berlandaskan maklumat yang sebenar dan tepat," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu rancangan Hello Malaysia terbitan BernamaTV.
  
Beliau berkata segala peraturan yang ditetapkan SPR ke atas pemerhati bertujuan untuk memastikan pilihan raya berjalan lancar.
  
Wan Ahmad berkata, pemerhati tidak dibenar bercakap dengan mana-mana ejen parti dan petugas SPR di pusat mengundi supaya tugas mereka tidak terganggu di samping tidak dibenar bercakap kepada media bagi mengelak berlaku pelbagai kenyataan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Mereka yang dilantik adalah mengikut undang-undang dan tertakluk kepada akujanji pelantikan yang tidak membenarkan mereka berkomunikasi dengan pihak ketiga sebelum laporan hasil pemantauan diserah kepada SPR.
  
"Adalah tidak logik pemerhati dibenar untuk menemuduga petugas SPR yang dilantik...jangan cakap kalau tiada fakta yang betul, saya cabar Saifuddin untuk dapatkan kepastian penjelasan daripada SPR sendiri," katanya.
  
Saifuddin dalam satu sidang akhbar hari ini mendakwa panduan yang dikemukakan SPR kepada pemerhati berkenaan bukan sahaja menyekat malah tidak munasabah.
  
Sementara itu, Wan Ahmad berkata, SPR akan menyerahkan akreditasi kepada lima badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai pemerhati iaitu Merdeka Centre, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham), Transparency International, Pusat Kajian Dasar Awam, (CPPS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai pemerhati dalam masa terdekat.
  
Bagaimanapun penguatkuasaan tugas mereka hanya akan bermula apabila Parlimen dibubar. - Bernama

Tiada ulasan: