SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima banyak
aduan daripada pengguna yang kecewa dengan sikap pelbagai pihak yang
saling menunding jari berhubung masalah air di Selangor.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Ma'amor Osman meminta
kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Syarikat Bekalan Air Selangor
Sdn Bhd (Syabas) mengenepikan kepentingan politik dan berbincang
menyelesaikan isu air di Selangor.
"Maklum balas yang diterima dari laman blog dan akaun laman sosial
Facebook PPIM menunjukkan para pengguna sangat kecewa," katanya ketika
dihubungi Bernama.
Beliau berkata, penyelesaian segera perlu dicari supaya masalah bekalan
air terawat kepada pengguna domestik dan industri di Selangor dapat
diatasi segera.
Beliau berkata, hampir kesemua pam air di negeri Selangor
berkemungkinan menghadapi masalah lebihan kapasiti disebabkan faktor
usia dan pergerakan tanah.
"Oleh itu adalah penting pam-pam air yang ada perlu diselenggarakan
dengan baik dari semasa ke semasa seperti di kebanyakan negara maju,"
katanya.
Baru-baru ini hampir setengah juta pengguna di sekitar Ampang, Gombak
dan Lembah Keramat menghadapi masalah terputus bekalan air apabila rumah
pam di Wang Maju gagal berfungsi. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan