Sabtu, 19 Januari 2013

Pojok – DILEMA: Lain macam saja, apa yang sedang berlaku ini?

 Roketkini.com



Biasanya bila tiba dekat musim pilihanraya umum, macam-macam tawaran dibuat oleh kerajaan. Tak kiralah kerajaan persekutuan atau negeri. Sudah jadi lumrah sejak lebih setengah abad.

Ada antara kita sudah sinis dengan suasana pra-undi ini. Malah dalam sinis itu pula, ada antara kita hanya mencebir bibir, menganggap apa pun yang sedang berlaku, Barisan Nasional akan tetap menang. Sampai kiamat agaknya.

Tapi ada pula antara kita yang pada saat ini terasa lain pula. Bukan saja yang tersirat membuatkan hati berdebar-debar, malah yang tersurat pun menegakkan bulu roma di lengan. Apa yang sedang berlaku ini?

Jarang berlaku. Sejak akhir-akhir ini mahkamah sudah beberapa kali menjatuhkan hukuman menyalahkan lidah rasmi UMNO yang bernama Utusan Malaysia. Teruk Utusan kalah saman. Tuduh DAP, tuduh PAS, tuduh PKR. Akhirnya pecah tembalang fitnah.

Hari ini pun mahkamah buat keputusan positif untuk Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad, yang tentunya mengecewakan Utusan.

Jarang berlaku. Sejak akhir-akhir ini beberapa blogger pro-UMNO yang rasis dengan hapak bau perkauman juga satu demi satu mengalah, minta maaf kepada para pemimpin Pakatan Rakyat yang telah menjadi mangsa fitnah mereka.

Hari ini pun seorang blogger pro-UMNO membuat “pembetulan” kerana kesalahannya memfitnah Tok Guru Nik Aziz Nik Mat serta Ahli-Ahli Parlimen DAP Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming dalam soal tanah di Kelantan.

Jarang berlaku. Baru-baru ini Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam yang mengemukakan teori unjuran kemungkinan keputusan PRU dalam sebuah forum telah digantung kerja. Ya, digantung kerja hanya kerana melaksanakan tugasnya dalam membincangkan political economy.

Mungkin kurang mengejutkan sikap pengurusan bank itu yang biasanya takut kepada mereka yang berada di tampuk kuasa. Tapi yang mengejutkan ialah keberanian pakar ekonomi itu berkata yang benar, semata-mata yang benar.

Agaknya kerana itu lebih 150,000 orang (ada yang kata hampir 500,000) berkumpul ramai-ramai di ibu kota baru-baru ini sebagai tanda suara kebangkitan rakyat. Mungkin dalam PRU nanti lebih jelas keputusan rakyat majoriti pelbagai kaum dan agama yang cintakan keamanan, damai dan kasih sayang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: