Oleh Lim Kit Siang
Apabila klip video “listen, listen, listen!” seorang pendokong 1Malaysia Sharifah Zohra Jabeen memandang rendah pelajar tahun dua undang-undang Bawani KS tersebar luas, ia mencerminkan dua kegagalan dasar Datuk Seri Najib Razak sepanjang empat tahun menjadi perdana menteri.
Pertama, kegagalan program “transformasinya”, sama ada kerajaan, ekonomi, politik, pendidikan atau sosial yang semuanya bersandarkan prinsip ”era kerajaan tahu semua telah berlalu”.
Kedua, kegagalan dasar 1Malaysia untuk mewujudkan negara yang mana rakyatnya melihat diri mereka rakyat Malaysia dahulu kemudian barulah kaum, agama, tempat atau latar belakang ekonomi.
Sekiranya pelbagai program transformasi Najib berharap untuk berjaya, ia haruslah bersandarkan komunikasi dan dialog dua hala antara pemerintah dengan yang diperintah dan bukannya “listen, listen, listen!” secara satu hala dipaksakan ke atas yang diperintah oleh pemerintah.
Kes Azrul dan Bank Islam
Adakah Najib dan kerajaan UMNO-BN bersedia untuk “listen, listen, listen”?
Jelas sekali tidak. Jika benar bersedia untuk mendengar pastinya Ketua Ekonomi Bank Islam, Azrul Azwar Ahmad Tajudin pasti tidak akan digantung kerja berikutan laporan media berkenaan pembentangannya di Regional Outlook Forum Singapura Khamis lepas yang meramalkan kemenangan tipis Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ke-13.
Sebenarnya, media melaporkan hanya SATU daripada TIGA senario yang dikemukakan oleh Azrul tentang PRU13 berdasarkan kajiannya, iaitu:
* Senario “kemungkinan besar” – Kemenangan yang tipis untuk PR (115 hingga 125 kerusi Parlimen), PR memenangi lapan negeri, iaitu: Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu and Perlis;
* Senario “kemungkinan sederhana” – Kemenangan yang tipis untuk BN (112 hingga 122 kerusi Parlimen), PR memenangi enam negeri, iaitu: Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak dan Negeri Sembilan; dan
* Senario “kemungkinan kecil” – Kemenangan besar PR (130 hingga 140 kerusi Parlimen),PR memenangi sembilan kerajaan negeri, iaitu: Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Perlis dan Pahang; BN secara tipis mengekalkan Johor dan Melaka.
Azrul serta merta digantung daripada Bank Islam apabila media melaporkan senario “kemungkinan besar” bahawa Barisan Nasional akan kalah PRU13 memandangkan BN hanya dapat mempertahankan hanya 97 hingga 107 kerusi Parlimen, tanpa menyatakan ramalannya untuk pilihan raya negeri – bahawa BN akan gagal untuk mendapatkan semula Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan dan akan kalah di empat negeri lain seperti Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perlis sementara “mengekalkan Pahang dan Johor dengan tipis”.
Adakah Azrul akan dipecat serta-merta oleh Bank Islam sekiranya media telah melaporkan senario “kemungkinan kecil” BN mengalami kekalahan teruk dalam mempertahankan hanya 82-92 kerusi Parlimen sementara kalah sembilan kerajaan negeri, “mengekalkan dengan tipis Johor dan Melaka”?
Atau adakah Azrul akan dinaikkan pangkat sekiranya beliau telah meramalkan di forum Singapura itu seperti mana kata Menteri Besar, Perdana Menteri dan sesetangah pemimpin UMNO-BN bahawa dalam PRU13, BN akan mendapat semula dua pertiga majoriti Parlimen dan memenangi semua lima kerajaan negeri Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak?
Menteri Besar Johor sependapat dengan Azrul?
Azrul membuat ramalan PRU13 beliau di forum Singapura Khamis lalu. Sejak itu, ramalannya bahawa PRU13 berkemungkinan memihak PR berbanding BN telah diperkukuhkan dengan kejayaan dan penganjuran bersejarah KL112 dengan kehadiran lebih 100,000 rakyat Malaysia dari serata negara untuk menyokong agenda perubahan.
Akan tetapi sebelum KL112, Menteri Besar Johor Datuk Ghani Othman telah meramalkan senario PRU13 yang hampir serupa seperti Azrul, secara terbuka memberi tahu pertubuhan Cina Kulai Selasa lepas bahawa Pakatan Rakyat boleh memenangi PRU13 dengan majoriti tipis 5% hingga 10% kerusi Parlimen – iaitu PR menang 117 hingga 122 kerusi Parlimen atau hampir kepada senario “kemungkinan besar” Azrul.
Adakah Ghani Othman disuruh meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor kerana membuat pernyataan senario PRU13 yang tidak beza dengan pernyataan Azrul?
Apa yang Najib cuba tegakkan? Adakah ia cara fikir “era kerajaan tahu semua telah berlalu” atau budaya “listen, listen, listen!” yang diajukan Sharifah Zohra yang telah menjadi fenomena terkini internet?
Kes Sharifah 1Malaysia buli siswi Bawani
Kejadian Sharifah-Bawani menonjolkan kehampaan dan kepura-puraan dasar 1Malaysia Najib, yang terkena tamparan hebat sejak awal lagi apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjauhkan dirinya dari dasar itu dengan mengisytiharkan bahawa dirinya adalah “Melayu dahulu, rakyat Malaysia kemudian”.
Walaupun Sharifah Zohra adalah aktivis dan pendokong 1Malaysia, dia tiada langsung semangat 1Malaysia apabila dia menyelar Bawani dengan mengatakan sekiranya mahasiswa tahun kedua jurusan undang-undang itu kritis terhadap dasar di Malaysia, Bawani boleh “pergi ke Cuba, pergi ke Argentina, pergi ke mana-mana sahaja”, dan bertanya, “Apa yang kamu buat di Malaysia?”
Saya teringat kepada peristiwa di Parlimen pada tahun tujuh puluhan sewaktu ucapan saya dihentikan oleh seorang Menteri Kabinet UMNO yang mengatakan pada saya bahawa sekiranya saya begitu kritis dengan dasar UMNO-BN, saya boleh tinggalkan Malaysia. Dengan pantas saya membalas, sekiranya dia tidak mahu mendengar apa yang saya mahu katakan bagi pihak rakyat Malaysia yang menghantar saya ke Parlimen, dia yang sepatutnya meninggalkan Malaysia!
Sharifah adalah watak terbaru dalam barisan sentimen anti-1Malaysia diluahkan oleh kononnya pendukung dan penyokong dasar 1Malaysia Najib. Semuanya produk Biro Tata Negara, daripada pegawai khas Najib, Datuk Nasir Safar sehinggalah pegetua sekolah Hajah Siti Inshah Binti Mansor, Datuk Nasir Safar bukan sahaja melabel kaum India dan Cina sebagai pendatang, tetapi bagai meletakkan garam ke luka dengan menyatakan bahawa “Orang India datang ke Malaysia sebagai pengemis dan orang Cina datang untuk jual tubuh”.
UMNO-BN mahu dengar rakyat atau diubah oleh rakyat?
Di dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (semalam), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyelesaikan saman fitnah selepas Khairy menarik balik kata-katanya dan menyatakan beliau tidak menggelar Anwar pengkhianat dan boneka Amerika Syarikat dan Yahudi.
“Listen, listen, listen!” Najib – adakah Perdana Menteri bersedia demi membawa politik yang jujur dan beretika di Malaysia, untuk segera mengeluarkan arahan kepada semua pemimpin UMNO-BN dan media perdana untuk menghentikan pembohongan dan penipuan serta tuduhan tak berasas bahawa pemimpin Pakatan Rakyat adalah pengkhianat dan benci negara?
Adakah para pemimpin PR dituduh dnegan fitnah sedemikian semata-mata kerana mereka tidak bersetuju dengan UMNO-BN, terutamanya apabila pemimpin PR juga sama patriotik dan sayangkan negara seperti pemimpin UMNO-BN?
Sekiranya usaha supaya “Najib listen, listen, listen!” tidak berkesan, maka satu-satunya pilihan untuk rakyat Malaysia adalah undi untuk ubah Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dalam PRU13 – buat pertama kalinya dalam 55 tahun. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan