Rabu, 2 Januari 2013

PKNS optimis pertumbuhan ekonomi Selangor 2013

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Walaupun suasana ekonomi negara dan global masih suram, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) optimis dengan pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor dan Malaysia bagi tahun 2013.


“Pada tahun lepas, cabaran ekonomi dan sosial yang getir telah dilalui oleh PKNS dengan tekad dan komitmen yang lebih jitu untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat,” ujar Pengurus Besar PKNS, Othman Omar (gambar) dalam satu kenyataan.
Berikut kenyataan penuh beliau.

Walaupun suasana ekonomi negara dan global masih suram, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) optimis dengan pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor dan Malaysia bagi tahun 2013.

Pada tahun lepas, cabaran ekonomi dan sosial yang getir telah dilalui oleh PKNS dengan tekad dan komitmen yang lebih jitu untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat.

PKNS telah mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan dari sudut pembangunan bisnes dan  korporat antaranya termasuk:

1. Projek perumahan di Alam Nusantara, Setia Alam dan Seksyen 24, Shah Alam habis dijual dalam masa 6 jam selepas dilancarkan. Tiada stok hartanah PKNS di luar Lembah Klang seperti Antara Gapi, Kota Puteri dan Bernam Jaya yang kesemuanya habis dijual.

2. PKNS telah membayar kesemua hutangnya (zero gearing) dan kini berada dalam kedudukan kewangan yang begitu kukuh. Keuntungan PKNS pada tahun 2012 dijangka mencecah RM300 juta meneruskan pencapaian cemerlang dan konsisten sejak 2008.

3. Projek perumahan mampu milik di Bukit Botak, Selayang kini dalam fasa terakhir dan dijangka siap pada Mac 2013. Sebanyak 1,422 unit rumah berkembar disiapkan oleh PKNS dalam tempoh tidak sampai 18 bulan setelah terbengkalai hampir tiga puluh tahun ianya terbengkalai akibat pemaju sebelumnya. Kos pembinaan berjumlah hampir RM260 juta di mana PKNS menanggung subsidi sebanyak RM80 juta. Setiap unit rumah dijual pada harga RM99,000 seunit di bawah harga pasaran sebanyak RM300,000 seunit.

4. PKNS turut menanggung subsidi berjumlah RM12 juta untuk membina 124 unit pangsapuri 6-tingkat perumahan mampu milik di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi yang dijangka siap pada Jun 2013. Malah, PKNS akan membelanjakan sebanyak RM1.1 bilion untuk membina 12,000 unit rumah mampu milik di seluruh Negeri Selangor dalam tempoh 8 tahun sehingga tahun 2020.

5. Pada tahun 2012, PKNS telah dianugerahkan sebagai Top 10 Property Developer Di Asia Tenggara oleh BCI Asia Awards. Projek Datum Jelatek, Kuala Lumpur oleh Datumcorp International (milik penuh PKNS) turut menerima anugerah Most Iconic Design of The Year oleh Malaysian Reserve Editors' Choice Property Awards.

6. PKNS merupakan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri pertama di dalam negara yang menandatangani Lafaz Integriti Korporat (Corporate Integrity Pledge) dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). PKNS turut mencatatkan penjimatan (bottomline savings) melebihi RM100 juta pada tahun 2012 hasil daripada inisiatif integriti menerusi proses tender terbuka.

7. Penubuhan PKNS Real Estate (milik penuh PKNS) pada tahun 2012, yang fokus dalam pelaburan dan pengurusan hartanah untuk meningkatkan nilai aset serta menjana pendapatan berterusan bagi PKNS. Ini akan menjadi salah satu aktiviti teras bisnes PKNS.

8. Pembuatan Halal Sutures oleh Worldwide Medivest Sdn Bhd (milik penuh PKNS) akan mula beroperasi pada suku kedua tahun 2013. Alatan perubatan (sutures) ini merupakan yang pertama menurut perakuan syariah di dalam negara dan rantau ini.

9. Rangkaian hotel syariah terulung negara, Hotel De Palma (milik penuh PKNS) telah dianugerahkan piawaian Islamic Standard Quality (ISQ) pada tahun 2012.

10. Pembangunan usahawan Bumiputera merupakan salah satu fokus utama PKNS dan akan memperuntukkan lebih daripada RM15 juta pada tahun 2013 menerusi pelbagai program pembangunan usahawan dan pelbagai subsidi.

Pada tahun 2013, PKNS akan terus menumpukan usaha menerusi aktiviti-aktiviti teras bisnes dalam pembangunan hartanah di Antara Gapi, Kota Puteri, Bernam Jaya dan banyak lagi kawasan-kawasan strategik dan berpotensi. Projek-projek perumahan mampu milik akan diteruskan dengan lebih aktif di Antara Gapi, Bernam Jaya, Kota Puteri, Taman Sains Selangor 2, Seksyen U12 Petaling, dan di banyak lokasi lain seluruh Negeri Selangor.

Kesemua pencapaian ini membuktikan bahawa PKNS terbukti sebagai jenama yang  dipercayai, berkredibiliti tinggi serta diterima ramai.

Pada masa yang sama, pihak pengurusan PKNS dengan penuh rasa tawadduk dan rendah diri sedar bahawa pencapaian ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dan kepercayaan kerajaan, pihak berkuasa, rakan-rakan kongsi dan rakyat.

PKNS ingin menegaskan tekad dan komitmen organisasi untuk terus mempertingkatkan ekonomi Bumiputera dan rakyat Negeri Selangor menerusi pelbagai program ekonomi,  pembangunan usahawan, pendidikan dan tanggungjawab sosial korporat.

Semoga tahun 2013 yang bakal mendatang akan membawa harapan baru kepada rakyat Negeri Selangor, khasnya dan Malaysia, amnya.

Tiada ulasan: