Roketkini.com
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ini kerana selama hampir empat tahun janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan satu demi satu program transformasi iaitu ekonomi, politik, pendidikan dan sosial dan jenayah, namun semuanya bukan membawa transformasi sebaliknya kepada kecacatan (deformasi) negara.
Katanya, yang dicapai daripada semua pengumuman dan inisiatif itu adalah gelaran “Negara Akronim” sementara kecacatan negara dalam semua aspek kehidupan masih berterusan.
“Rakyat akan mengenang pemerintahan Najib selama empat tahun sebagai pentadbiran yang merudum dalam pelbagai indeks global yang ditonjol melalui tiga laporan antarabangsa pada bulan terakhir 2012,” katanya dalam mesej Tahun Baru 2013.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, ketika pemerintahan Najib Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) Malaysia menjunam ke paras paling rendah dalam tempoh 18 tahun iaitu pada kedudukan ke-56 pada 2009 dan 2010, ke-60 (2011) dan ke-54 pada 2012 berbanding kedudukan paling teruk ke- 23 ketika Mahathir dan ke-47 ketika Tun Abdullah.
“Ini menunjukkan rasuah di bawah Najib lebih buruk berbanding di bawah semua Perdana Menteri sebelum ini termasuk Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah.
“Laporan Global Finance Intergrity pula Malaysia dengan populasi 28 juta berada di tempat pertama dalam pengaliran keluar wang haram, samada dalam bentuk wang gelap pada 2010 iaitu sebanyak RM196.8 bilion dan sebanyan RM871 bilion dalam tempoh antara 2000 hingga 2010,” katanya.
Selain itu, katanya, tahap pencapaian pelajar Malaysia dalam matematik dan sains juga teruk iaitu berada pada kedudukan ke-26 dalam matematik dan ke-32 dalam sains berbanding pelajar negara lain berdasarkan kajian TIMSS 2011.
Selamat Tahun Baru 2013 kepada semua rakyat Malaysia. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan