Selasa, 15 Januari 2013

Pemuda DAP tampil muka baru tanding PRU13

DETIK DAILY

MENYANDANG jawatan Ketua Pemuda DAP (DAPSY) bagi penggal baru adalah satu tanggungjawab besar buat Teo Kok Seong, tambahan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Berkhidmat sebagai Adun Bahau, Negeri Sembilan, sejak 2008, Kok Seong semakin agresif menggerakkan jentera DAPSY apatah lagi PRU13 bakal menyaksikan ramai muka baru yang akan menjadi calon bagi memenangi lebih banyak kerusi.

Ikuti temubual eksklusif wartawan Sinar Harian, HASLINA KAMALUDIN dan jurugambar MUHAMMAD ZULFAD HLI AHMAD ZAKI bersama beliau.

Apakah perancangan masa depan baru keseluruhan jentera Pemuda DAP?

Menjelang PRU13, kami akan bersamasama turun padang membantu Pakatan Rakyat (PR) berkempen ke setiap negeri. DAPSY akan memberi lebih penekanan kepada tiga negeri iaitu Johor, Pahang dan
Perlis kerana jentera di sana tidak begitu kuat dan tidak pernah memenangi kerusi sebelum ini. Bagi jangka panjang pula, ada tiga perkara yang menjadi tumpuan kami.

Pertama, menurunkan had umur daripada 40 kepada 35 tahun kepada ahli baru DAPSY. Jentera akan bergerak untuk menarik lebih banyak warga muda terutama mahasiswa untuk memahami perjuangan DAP. Bagi memantapkan lagi parti, Setiausaha Hal Ehwal Varsiti di mana Pengarah Biro akan lebih berperanan dalam komunikasi. Mereka akan pergi ke universiti-universiti bertemu dengan mahasiswa serta persatuan universiti. Fokus kita adalah mencari pemimpin mahasiswa menyertai DAP.

Kedua adalah pendidikan politik. Ia sangat penting di mana, masih ramai tidak memahami erti perjuangan sebenar DAP termasuklah ahli parti sendiri. Akan diadakan bengkel dan latihan kepada mereka dalam setiap peringkat.

Ketiga, penubuhan Biro Alam Sekitar. DAPSY akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar untuk sama-sama memelihara alam sekitar, memantau pelaksanaan kilang-kilang seperti Lynas dan projek-projek yang diluluskan kerajaan. Memandangkan Pergerakan Hijau adalah fenomena politik baru dan ternyata ia sudah ramai tampil kerana objektif kita adalah pemuliharaan alam sekitar dan menjauhi pencemaran.

Bagaimana DAPSY ingin memantapkan jentera terutama di kawasan yang belum mempunyai jawatankuasa negeri?

Saya berharap akan dapat ditubuhkan jawatankuasa negeri di beberapa negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Perlis. Walaupun bukan mudah untuk menubuhkannya kerana kebanyakan negeri di perintah oleh Barisan Nasional. Ia menyebabkan keahlian sangat terhad. Itulah cabaran kami. Dengan adanya jawatankuasa ini nanti, akan menyenangkan kerja penyelarasan.

Buat masa ini sudah berapa bahagian yang ada?

Kami sudah mempunyai 68 bahagian termasuk Sabah dan Sarawak.

Apakah perancangan anda untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai DAP dan PR?

Saya akan turun ke setiap negeri bertemu pimpinan dan akar umbi untuk mendengar setiap permasalahan.

Bagaimana pula daripada segi pencalonan untuk PRU13 ini?

Akan ada ramai muka baru yang akan menjadi calon termasuk DAPSY. Sekurang-kurangnya 10 muka baru akan diketengahkan untuk bertanding di setiap negeri. Untuk pengetahuan, DAP ada ramai Adun dan Ahli Parlimen.

DAP tidak sama dengan BN yang dilihat kurang percaya kepada pemuda untuk menjadi calon. DAP mempunyai ramai veteran yang sanggup memberi peluang kepada pemuda untuk menerajui perjuangan DAP. Pemuda berusia kurang 30 tahun juga boleh menjadi calon terutamanya yang berpendidikan tinggi. Ini salah satu keistimewaan DAP dan PR yang begitu menghargai pemuda. Tidak ramai calon BN kurang berumur 40 tahun berbanding DAP.

Sebagai ketua, menjelang PRU13, adakah ia menggentarkan anda kerana ramai berpendapat PRU13 ini adalah paling sengit dalam sejarah?

Bagi PRU13, persiapan DAP sudah bermula sejak dua tahun lepas. Ketika itu ada khabar angin mengatakan, Parlimen akan dibubarkan awal. Persiapan ini kami tunggu selama dua tahun. Perkara sama kami akan lakukan. Saya yakin, jentera DAP sudah bersiap sedia dan boleh menghadapi PRU13 pada bila-bila masa.

Ramai di luar DAP yang masih belum mengenali anda, bagaimana anda menghadapi perkara ini?

Saya bukan menantu kepada sesiapa. Untuk membolehkan ramai mengenali saya, saya akan menambahkan jadual saya untuk berceramah. Adalah lebih penting masyarakat mengenali perjuangan DAP dan PR.

Menjelang PRU13, apakah perancangan anda untuk menarik pengundi bukan Cina terutamanya dari kaum Melayu?

DAP adalah parti untuk pelbagai kaum. Kesemua pimpinan DAPSY boleh berucap dalam bahasa Melayu. Ada persepsi mengatakan DAP adalah parti Cina. Sejak 2008 sehingga ke hari ini, perhimpunan negeri atau Pusat termasuk mesyuarat, kami menggunakan bahasa Melayu. Akhbar Roket juga turut dibuat dalam bahasa Melayu termasuk portal kami iaitu www.roketkini.com. Pemuda DAP generasi hari ini, kami menganggap kami adalah rakyat Malaysia bukan semata-mata kaum. Hanya segelintir masyarakat yang membuat tanggapan DAP adalah anti Melayu.

Apakah cabaran yang dijangka dihadapi dalam mengemudi Pemuda DAP?

Sebelum 2008, DAP masih pembangkang. Sekarang sudah menjadi kerajaan untuk beberapa buah negara. Pemikiran juga sudah lain. Selain menyerang kerajaan pusat, saya perlu memberi penerangan mengenai dasar yang baik yang telah dilaksanakan PR. Masyarakat sebelum ini melabelkan DAPSY hanya tahu bercakap.

Sebuah kerajaan harus menghargai adanya pembangkang kerana pembangkang yang memberikan idea bernas kepada mereka. Selain itu, cabaran kami adalah kewangan. DAPSY perlu membuat majlis makan malam dan menjual tiket kepada penyokong apatah lagi menjelang PRU13. Kerana itu, kami akan menghargai setiap penyokong kita.

Apakah kerjasama yang paling penting dalam DAP menjelang PRU13?

Paling penting adalah sikap iaitu menerima cadangan dan teguran memandangkan kami yang masih di peringkat pembelajaran. Setiap cadangan yang membina haruslah diambil kira. Sikap bertanggungjawab dan kerjasama bersama pimpinan DAPSY lain sangat penting. Saya harus menjalinkan hubungan baik supaya jentera dapat bekerjasama dan menghadapi PRU13 dengan lebih baik selain membangunkan DAP.

Tiada ulasan: