Sabtu, 12 Januari 2013

Kit Siang ramal Parlimen dibubar Februari, PRU-13 akhir Mac

Roketkini.com.



KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang meramalkan Parlimen akan dibubarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Februari dan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) mungkin diadakan pada akhir Mac ini.

Katanya, ini kerana Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan akan dibubarkan dengan sendirinya pada 26 Mac ini kerana ia adalah dewan undangan negeri pertama yang bersidang selepas PRU-12 iaitu pada 27 Mac 2008.

Menurut beliau, kebanyakan pemimpin UMNO/BN sedar mereka boleh kehilangan Putrajaya pada PRU-13 sebab itu mereka menggambarkan Malaysia sebagai “syurga dunia” walaupun terbukti Dasar 1Malaysia dan pelbagai program transformasi gagal.

“Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sendiri ketika bercakap dengan pertubuhan Cina Kulai, Selasa lalu menyatakan Pakatan Rakyat boleh memenangi Putrajaya pada PRU-13, walaupun hanya menang tipis sebanyak lima hingga 10 peratus kerusi Parlimen yang akan membawa kepada kestabilan ekonomi.

“Pakatan Rakyat memenangi 5 hingga 10 peratus majoriti di Parlimen bermakna antara 117 kerusi dimenangi PR dan 105 kerusi dimenangi BN dengan majoriti 12 kerusi (majoriti 5.5 peratus) hingga 122 kerusi dimenangi PR dan 100 kerusi dimenangi BN dengan majoriti 22 kerusi (majoriti 10 peratus),” katanya dalam kenyataan media Perhitungan Detik 91 hari ke PRU-13.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, rakyat Malaysia yang mahukan perubahan perlu bekerja keras bagi memastikan Pakatan Rakyat memenangi lebih daripada lima hingga 10 peratus majoriti kerusi di Parlimen iaitu lebih daripada 122 kerusi Parlimen pada PRU-13.

Menurutnya, itu sebabnya bulan lalu beliau menyeru semua rakyat Malaysia menyokong sepenuhnya kempen “Seratus Hari ke Putrajaya” untuk kerajaan Pakatan Rakyat di Putrajaya dengan 125 kerusi di Parlimen, mengikut pembahagian 45:40:40 kerusi untuk PKR, PAS dan DAP.

“Saya juga katakan kejayaan PR pada PRU-13 nanti banyak bergantung kepada kemampuan memenangi empat juta pengundi golongan pertengahan dengan memfokuskan kepada isu nasional yang utama dan penting, termasuk kemampuan PR mengurus dan mengurangkan kadar rasuah di dalam negara, menunjukkan jalan baru menuju perpaduan nasional dan keharmonian berbilang kaum yang tulen; mentadbir lebih saksama dengan keadilan sosial dan kecekapan ekonomi; mengurangkan kemiskinan di kalangan masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak serta membawa pembangunan lebih mapan di dua negeri berkenaan; dan membawa era baru pentadbiran yang mana demokrasi dibangun dan diperdalamkan,” katanya..

Kit Siang berkata, rakyat sudak muak dengan sikap BN yang mengabaikan polarisasi kaum dan agama paling teruk di dalam sejarah negara; politik kebencian, konflik, penipuan dan pembohongan paling tidak bertanggungjawab dilakukan pemerintah dan media perdana (MSM) mereka sejak Merdeka pada 1957.

“Indeks Persepsi Rasuah Transparency International menunjukkan rasuah di bawah pemerintahan Najib lebih teruk berbanding semua bekas Perdana Menteri; laporan Global Finance Integrity terkini menunjukkan Malaysia berasaskan per kapita adalah No.1 di dunia dalam pengaliran keluar wang haram dan rasuah (sama ada duit gelap yang dibawa keluar dari negara untuk 2010 sebanyak RM196.8 bilion atau RM871 bilion untuk 2000-2010); atau TIMSS (Kajian Aliran Dalam Sains dan Matematik Antarabangsa) 2011 terhadap dua subjek kritikal matematik dan sains menunjukkan Malaysia memberi sistem pendidikan yang lemah berbanding negara lain atau hasil kajian masa lalu negara ini.

“Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menjauhi dasar 1Malaysia mengisytiharkan “Melayu dahulu, Malaysia kemudian”, berada di barisan hadapan memuji Malaysia dengan mendakwa Malaysia kini menjadi negara “kegemaran pelabur” kerana pelbagai program transformasi.

“Semua pujian melambung pemimpin UMNO/BN mengenai kejayaan pelbagai program transformasi, termasuk mendakwa Najib berjaya menghentikan “tsunami politik” 2008 dan bersedia merampas 20 kerusi Parlimen daripada Pakatan Rakyat dan mendapatkan kembali majoriti dua pertiga, membuktikan mereka bimbang akan terpaksa keluar dari Putrajaya pada PRU-13 akan datang,” katanya – Roketkini.com.

Tiada ulasan: