Isnin, 14 Januari 2013

Kerajaan tidak terburu-buru laksana GST walau pun terima maklum balas positif, kata Ahmad Husni

THE MALAYSIAN INSIDER

IPOH, — Kerajaan tidak akan terburu-buru melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) walau pun mendapati proses “engagement” yang dilakukan dengan pelbagai pihak menerima maklum balas positif, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Katanya walau pun proses itu masih dijalankan, namun kerajaan belum membuat keputusan sama ada cadangan itu akan dilaksanakan atau tidak.

“Kita mahu perbincangan dan maklumat disebarkan kepada rakyat supaya mereka tahu dan faham, barulah kita laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Khidmat Bakti Masyarakat Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Dewan Komuniti 1Malaysia, Chemor di sini.
“Proses ‘engagement’ masih berterusan, kita masih jumpa ramai pihak.”

Walau pun dalam kajian kerajaan, katanya GST merupakan satu sistem yang baik serta dilaksanakan di 140 negara bagi menggantikan cukai Jualan dan Perkhidmatan, namun dengan mengambil kira prinsip “Rakyat Didahulukan” maka kerajaan tidak melaksanakan cadangan itu pada masa sekarang.

“Kita tahu bahawa dengan adanya sistem ini, ia tidak akan memudaratkan rakyat kerana di bawah sistem ini kerajaan menyediakan beberapa bantuan kepada rakyat, dalam erti kata ada barang-barang asas yang tidak dikenakan cukai langsung,” katanya.

Ahmad Husni berkata jika GST dilaksanakan, kerajaan turut melihat dalam konteks bagaimana cukai korporat dapat dikurangkan serta dari segi rakyat pula bagaimana GST itu dapat membantu.

Mengenai pandangan beberapa perunding cukai bahawa Malaysia boleh melaksanakan GST jika tiada kelembapan ekonomi, beliau berkata GST boleh dilaksanakan dalam tempoh antara setahun dan satu setengah tahun selepas Rang Undang-Undang GST diluluskan.

Katanya tempoh itu adalah untuk melengkapkan sistem yang melibatkan kerajaan, sektor swasta serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

“Ini bermakna cadangan GST itu boleh dilaksanakan. Dalam konteks ekonomi yang Malaysia capai pada hari ini, kita memang boleh laksanakan namun di bawah prinsip “Rakyat Didahulukan”, maka kerajaan tidak melaksanakannya pada masa kini,” katanya.

Rang Undang-Undang GST dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada Disember 2009, namun bacaan kedua yang dijadualkan pada Mac 2010, ditangguhkan. Ia pada mulanya dijangka dilaksanakan pada pertengahan 2011 bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan. — Bernama

Tiada ulasan: