Ahad, 20 Januari 2013

HKR112: IDEAS sifatkan situasi menang-menang

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyifatkan kejayaan Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 12 Januari lalu sebagai 'situasi menang-menang'.

Pengurus Projek dan Operasi IDEAS, Amin Ahmad berkata, rakyat berjaya membuktikan HKR berlangsung aman walaupun jumlah peserta jauh lebih ramai berbanding himpunan sebelum ini.

Manakala kerajaan pula katanya, dapat menunjukkan komitmen mereka terhadap transformasi yang mahu dilakukan.

"Sudah tentu kita tidak dapat mengelak daripada sejumlah kritikan dan juga sikap ahli politik yang akan mengambil peluang mendakwa perhimpunan ini adalah satu petunjuk positif bagi mereka, sama ada pembangkang atau kerajaan.

"Tapi lebih penting daripada itu ialah rakyat mempunyai keyakinan bahawa mereka mempunyai suara dan meskipun jumlahnya hanya satu orang, kebebasan bersuara ini mesti dijamin," kata beliau kepada Harakahdaily.

Respons kepada tuntutan rakyat

Beliau juga berkata, semua pihak khususnya kerajaan harus memberi perhatian kepada tuntutan rakyat.

Tegasnya, tidak semua tuntutan mesti dilihat sebagai satu serangan kepada kerajaan sebaliknya apa sahaja tuntutan yang dikemukakan harus dilihat sebagai petunjuk bahawa rakyat masih percaya kepada fungsi kerajaan.

"Dalam konteks demokrasi, sudah tentu tidak salah mengemukakan apa juga tuntutan. Kerajaan mesti menjelaskan keutamaan yang ingin mereka ambil dan mengapa keutamaan itu dibuat," katanya.


(Saifudin membacakan deklarasi HKR112 Stadium Merdeka)

Deklarasi 10 tuntutan yang dibacakan dalam HKR di Stadium Merdeka 12 Januari lalu ialah:

1) Menuntut pilihan raya yang bersih adil dan telus merangkumi media yang bebas

2) Menuntut prestasi, reputasi dan wibawa Felda di selamatkan demi menjamin kedudukan ekonomi dan pemilikan tanah warga peneroka

3) Menuntut supaya Sabah dan Sarawak diiktiraf adil dan setara dengan Semenanjung Malaysia

4) Menuntut 20 peratus royalti minyak dikembalikan kepada negeri pengeluar petroleum.

5) Mengiktiraf dan meningkat profesionalisme menjamin kebajikan dan melindungi masa depan kakitangan awam termasuk guru dan anggota keselamatan

6) Menuntut kehidupan dengan persekitaran alam yang bersih dan menyihatkan

7) Menuntut agar Bahasa Kebangsaan dimartabatkan bahasa ibunda kembali dijulang dan Bahasa Inggeris dipertingkatkan dalam sistem pendidikan negara serta pendidikan percuma untuk semua anak Malaysia

8) Menuntut pembebasan tahanan politik yang ditahan tanpa keadilan

9) Menuntut agar kampung-kampung tradisi dan tempat-tempat warisan dipelihara, dilindungi dan dipertahankan.

10) Menuntut kehidupan yang lebih baik untuk wanita sebagaimana termaktub di dalam Agenda Wanita Malaysia.

Tiada ulasan: