Khamis, 10 Januari 2013

Himpunan 12 Jan: Stadium Merdeka hanya benar 30,000 peserta

Wartawan Sinar Harian

Stadium Merdeka
Stadium Merdeka
 
SHAH ALAM - Himpunan Kebangkitan Rakyat hanya dibenar membawa hadirin tidak melebihi 30,000 orang pada Sabtu ini meskipun penganjur sebelum ini dilaporkan akan menghimpunkan hampir sejuta orang.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Merdeka Heritage Trust, pemilik Stadium Merdeka berkata, pihaknya tiada halangan terhadap permohonan Jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat untuk acara yang akan diadakan pada Sabtu ini dari jam 2 hingga 5 petang.

"Bagaimanapun, permohonan tersebut adalah tertakluk kepada syarat- syarat penggunaan stadium yang telah ditetapkan.

"Pihak Jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat perlu mematuhi terma-terma dan syarat-syarat yang dikenakan terutamanya memastikan jumlah pengunjung/peserta tidak melebihi 30,000 orang," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, syarat ini mengambil kira kapasiti stadium tersebut yang hanya boleh menampung seramai 30,000 orang bagi memastikan struktur dan harta benda Stadium Merdeka yang diwartakan sebagai ‘hartanah warisan kebangsaan’ sentiasa dijaga dan dipulihara.

Stadium Merdeka merupakan stadium sukan di Kuala Lumpur. Ia mula dibina pada bulan Julai 1956.

Stadium ini mempunyai kemudahan dan kelengkapan sukan yang setanding dengan stadium-stadium antarabangsa di negara-negara lain ketika itu dan mempunyai tempat duduk bagi 22,000 orang, dan 3,000 darinya terletak di bawah bumbung ketika dibuka.

Kemudian stadium dinaikkan taraf untuk menampung sehingga 45,000 orang penonton.

la mempunyai 14 buah "terowong" yang merupakan pintu keluar-masuk stadium. Kawasan tempat duduk yang berbumbung itu adalah sepanjang 30 kaki (10 meter), bumbungnya 60 kaki (20 meter) panjang ke hadapan dan tinggi 40 kaki (13 meter) dari bawah. Empat buah tiang lampu setinggi 140 kaki (46 meter) juga dibina untuk kegunaan upacara-upacara yang diadakan pada waktu malam.

Stadium ini mencatatkan sejarah apabila pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dibuat oleh Tunku Abdul Rahman selepas dirasmikan sehari sebelumnya. Pada 2007, Stadium Merdeka mengalami pemulihan kepada keadaan yang asal seperti yang pada 1957.

Stadium ini dengan kapasiti sebanyak 45,000 tempat duduk akan dikurangkan kepada 20,000 tempat duduk, yang bermaksud bahawa beberapa blok-blok teres atas dibina sejak bertahun-tahun akan dirobohkan.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa Pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia berkata, pihaknya menerima permohonan daripada Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu melalui surat rasmi untuk menggunakan Stadium Nasional sebagai lokasi perhimpunan.
  
"Permohonan tersebut menyatakan pihak mereka hendak mengadakan perhimpunan pada 12 atau 19 Januari," menurut kenyataan perbadanan itu.
  
"Penganjur perlulah mematuhi prosedur tempahan atau penggunaan seperti menjelaskan deposit dan bayaran sewaan, memastikan tidak berlaku kerosakan ke atas harta milik awam, tidak mengganggu-gugat lain-lain pihak yang berada di sekitar kompleks serta syarat lain yang ditetapkan dalam Borang Tempahan Acara," menurut kenyataan itu.
  
Dalam pertemuan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam, polis menasihatkan penganjur perhimpunan itu supaya mematuhi peraturan yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi memastikan ketenteraman awam dan hak kebebasan orang lain tidak terjejas.

Tiada ulasan: