Isnin, 14 Januari 2013

Cabai Burung – UMNO melopong lihat Stadium Merdeka penuh

Roketkini.com

“MELOPONG, lidah kelu tak mampu berkata”. Mungkin itu reaksi awal pimpinan UMNO-BN apabil melihat ratusan ribu rakyat pelbagai bangsa memenuhi Stadium Merdeka pada Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) #KL112 Sabtu lalu. Apa lagi selepas ini?

Polis cuma tersenyum membalas lambaian dan tanda bagus peserta HKR KL112 yang berjalan berarak menuju ke Stadium Merdeka. Tiada gas pemedih mata, tiada air asid, tiada FRU. Ini satu petanda baik.

Berbeza dengan sebelum ini. Sorak-sorai demonstran menuntut keadilan, ketelusan dan membela hak mereka yang dizalimi sering dijawab dengan cota dan but FRU tanpa banyak soal. Wajah mereka tidak bengis penuh benci seperti sebelumnya. Salut untuk Polis.

2013 memberi makna yang sangat besar kepada budaya demonstrasi, perarakan dan perhimpunan rakyat. Lagipun inilah tradisi turun temurun sejak bendera Union Jack berkibar di Tanah Melayu lagi.

Sejarah manis perjalanan perjuangan rakyat meredah onak duri demokrasi ala UMNO-BN yang tak pernah diimpikan sebelum ini sudah terlakar.

Pasti, ia akan memberi impak dan reaksi positif di kalangan rakyat negara ini seluruhnya. “Polis tak kacau, trafik dijaga, peserta disiplin, gerai dan restoran makanan penuh, jadi apa ada hal? Semuanya okay…”

Ini bermakna, pemikiran bantut dan tuduhan tak senonoh yang mendakwa demonstrasi, perarakan dan perhimpunan rakyat akan menimbulkan huru hara, vandalisme dan seumpanya boleh terus dibuang ke dalam bakul sampah.

Pasca KL112, kita juga pasti pimpinan UMNO-BN dengan bangga akan berkata kebenaran menganjurkan himpunan itu adalah bukti kerajaan BN amalkan demokrasi, terbuka dan satu lagi pelaksanaan transformasi politik.

Apapun dakwa mereka, kebenaran mengadakan perhimpunan mega ini diputuskan oleh suhu politik dan kesedaran rakyat yang semakin meningkat. Rakyat semakin marah, berani, muak dan jijik dengan gelagat pimpinan UMNO-BN. Ini bererti kerajaan BN semakin lemah.

Jika dulu mereka berkuasa melakukan apa saja keputusan, tetapi maaf, tidak lagi kini.

Cabai Burung percaya, pihak Polis lebih tahu situasi sebenar politik negara. Suara rakyat suara keramat.
Bahang PRU-13 akan datang mungkin bakal menzahirkan era baru bagi Malaysia.

Kasihan, di saat panglima UMNO-BN mengatur gerak memasang kuda-kuda, menyebar dakyah fitnah, membakar sentimen kaum dan agama, rakyat rupanya lebih cerdik.

Gagasan Pakatan Rakyat dan NGO rupanya sudah pergi jauh ke hadapan, keluar daripada belenggu kejumudan minda, memimpin rakyat menuju islah sebenar, menyahut seruan demokrasi dan kebebasan, sedia melakar sejarah baru negara, menanti sinar baru buat Malaysia tercinta. -Roketkini.com

Tiada ulasan: