Rabu, 23 Januari 2013

BN ulangi trend jatuhkan PAS T’ganu untuk tumbangkan KEADILAN S’ngor

Oleh Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) dicurigai mengulangi trend menjatuhkan kerajaan PAS Terengganu ke Selangor pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) berdasarkan pertambahan jumlah pengundi baru yang amat mendadak di negeri itu.

Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Selangor, Borhan Aman Shah (gambar) berkata, melalui modus operandi itu, Umno BN berjaya menumbangkan kerajaan PAS Terengganu dalam PRU 11 dan tidak mustahil pengalaman tersebut akan digunakan di Selangor berdasarkan maklumat baharu yang diperoleh.

Katanya, keadaan ini membuktikan pengkhianatan Umno BN terhadap kedaulatan negara dengan bantuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menang pilihan raya.

“Kenyataan Datuk Seri Najib Razak dalam siri kempennya memberi isyarat jelas untuk merampas Selangor dengan apa cara sekalipun dan tidak mustahil penipuan peti undi akan berlaku,” katanya kepada Keadilan Daily.

Beliau ragu sama ada modus operandi untuk memberi kewarganegaraan dan hak mengundi seperti yang didedah dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pendatang di Sabah, turut berlaku di Selangor.

“Situasi pemberian IC di Sabah sangat kritikal apabila wujud skandal pengeluaran IC sedangkan penerimanya belum sampai lagi ke Sabah. Adakah perkara ini juga berlaku di Selangor?” soalnya.

Minggu lalu, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut penjelasan SPR sama ada taktik sama ini dilakukan di Selangor.

Beliau berkata, ia berikutan terdapat kira-kira 134,000 pengundi baru yang tidak dapat dikesan berdasarkan kaji selidik

mengenai pengundi baru di negeri itu pada suku keempat tahun 2011 yang dijalankan kerajaan Selangor.
Mengulas sama, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, trend pertambahan pengundi baru di Selangor menyamai keadaan di Terengganu apabila kerajaan PAS tumbang pada PRU 2004.

“Bagaimana pertambahan pengundi baru di Selangor boleh berlaku secara drastik. Pakatan Rakyat curiga dengan cara pendaftaran pengundi ini dilakukan, saya diberitahu ada 300 rumah yang setiap unit mempunyai 100 pengundi untuk setiap rumah tersebut.

“Jika Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim boleh dipindahkan tempat mengundi tanpa pengetahuan beliau, boleh bayangkan bagaimana dengan orang ramai yang dipindahkan nama tanpa pengetahuan,” kata Xavier.

Penyelewengan disiasat hingga hari mengundi

Menurut Borhan, KEADILAN Selangor melaksanakan beberapa program untuk menyiasat dan mengesan pemilik IC yang disyaki menyeleweng.

“KEADILAN menyiasat penyelewengan melalui program pendemokrasian. Hasilnya kita berjaya mengesan beberapa penipuan dan memperoleh beberapa kenyataan saksi membabitkan kes pemberian IC tanpa prosedur.

“Contohnya di kawasan Lembah Pantai, ada bekas pegawai polis dan tentera memiliki dua IC yang membolehkan mereka mengundi dua kawasan.

“Wujud juga penipuan kes apabila ada individu melaporkan kehilangan IC beralamat di Kelantan tetapi mendapat IC baharu beralamat Selangor,” katanya.

Program pendemokrasian ‘Kempen Selangorku Bersih’ memberi fokus sepenuhnya untuk membersihkan daftar pemilih dan kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta untuk program di bawah Geran Selangorku ini.



Borhan menjelaskan, program pembasmian terus berlangsung sehingga hari pengundian di kawasan disyaki dan seluruh Selangor.

“Seluruh jentera Pakatan Rakyat bekerjasama dan mengerah petugas mengawasi semua tempat mengundi dan pengundi yang dicurigai.

“Pakatan akan menghampiri kumpulan disyaki pengundi hantu untuk meneliti IC dan mengenalpasti identiti mereka berdasarkan loghat, rupa paras dan pakaian,” jelasnya.

Menyedari PRU kali ini paling sengit dalam sejarah politik, Borhan berkata, SPR wajib memastikan PRU berlangsung telus dan adil, bukan sengit dengan penipuan.

“Amaran kepada SPR, sila amanah dan bertanggungjawab, jangan sampai rakyat berdemonstrasi lagi!” tegasnya.

Tiada ulasan: