Khamis, 3 Januari 2013

Allah buat Bible Melayu

Subky Latiff

 

Saya tidak bercadang untuk berbalah dengan fatwa melarang penggunaan panggilan Allah sebagai ganti Tuhan bagi Bible versi Melayu.

Seruan Ketua Menteri Lim Guan Eng supaya dibenarkan Bible Melayu menggunakan panggilan Allah menyusahkan sekutu DAP dalam Pakatan Rakyat untuk menghadapi dakyah BN menjelang PRU13 dan boleh mengurangkan peluang meraih sedikit undi dari orang Islam yanag tidak tegar Umno dan kurang tekun ibadatnya.

Mat rempit yang kurang pegangan agamanya pun akan celik bila seperti itu disentuh.

Apapun Allah itu adalah nama khas bagi Tuhan Seru Sekalian Alam. Ada nama umumNya yang lain seperti dalam Asmaul Husna yang 99 itu, tetapi nama Allah itu tidak boleh dikongsi selain untuk Allah Yang Maha Esa saja.

Allah itulah nama Tuhan bagi langit dan bumi, bagi bahasa yang digunakan ikan dan semua haiwan, bagi tumbuh-tumbah dan bagi batu-batu pejal. Allah itulah nama esa Tuhan untuk semua. Ialah Tuhan untuk semua manusia beragama atau pun sama ada mereka memanggilnya Allah atau pun tidak.

Hatta iblis, ahli maksiat yang pertama di alam ini sejak juta-juta tahun lalu memanggil Allah kepada Allah. Maka bagaimana hendak menyekat mana-mana makhluk memakai nama Allah walaupun mereka tidak beriman kepada Allah?

Adaun Allah itu adalah nama bagi Tuhan Yang Tunggal. Tidak boleh dipakai kepada cabang-cabang tuhan yang lain. Konsep ketuhanan dalam Kristian tidak esa seperti Islam. Ia ada kesatuan tiga dalam satu iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak buat Jesus dan Tuhan Ibu buat bonda Jesus.

Maka ketiga-tiganya adalah Tuhan. Maka apakah ketiga-tiga akan memakai nama Allah? Maka payah bagi umat Islam untuk memikirkan bagaimana Allah itu tidak dipakai oleh satu zat yang tunggal?

Itulah antara yang menyebabkan Islam merasa Kristian tidak layak memakai panggilan Allah. Apapun ia bukan masalah orang Islam. Ia adalah masalah Kristian dan biar ia menyelesaikannya. Bagaimana ia hendak menggunakannya biarlah ia menentukan.

Peraturan bagi Islam di Malaysia melarang Bible Melayu memakai Allah sebagai ganti Tuhan. Berapa lama ia dapat dipertahankan hanya Allah yang mengetahui. Apapun pengguna Bahasa Melayu di kalangan Kristian berusaha dulu supaya kalimah Allah dipakai oleh seluruh penganut Kristian di dunia dan Bible semua versi baik dalam apa bahasa jua memakai panggilan Allah sebagai panggilan Tuhan.

Biar Pope memerintahkan dulu semua penganut Katholik menggunakan panggilan Allalh dan semua Bible yang baru dicetak tidak lagi menggunakan Tuhan tetapi menggantinya dengan Allah. Dan biar gereja sedunia juga mengambil tindakan yang sama betapa tiada lagi menggunakan sekadar Tuhan saja tetapi menggunakan Allah.

Biar Pope dan gereja sedunia memerintahkan semua Bible yang ada dimusnahkan dulu dan semua Bible baru yang dipakai baik dalam apa bahasa menggunakan panggilan Allah.

Apabila Allah sudah menjadi panggilan rasmi Tuhan bagi Kristian baik Khatolik dan Protestan, baik Kristian Koptik di Mesir dan Kristian di Greece dan Rusia, maka ketika itu Allah tidak lagi eksklusif bagi agama Islam, barulah Bible dalam bahasa Melayu itu  dibincang semula.

Dalam situasi seperti itu payahlah bagi Majlis Fatwa untuk membantahnya.

Penulis adalah bekas Ketua Penerangan PAS

Tiada ulasan: