Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Jika Malaysia ingin kembali ke jalan yang lurus dari segi ekonomi dan hak politik, 2013 harus menjadi tentangan rakyat, bukannya menentang siapa yang lebih rasis dan ekstrim.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, 2013 adalah tahun penting bagi rakyat Malaysia mengubah kerajaan berusia 56 tahun yang takut kepada idea baru kerana mereka sudah hilang idea dan membelakangi prinsip keadilan, kebebasan, kebenaran, demokrasi dan integriti dalam pentadbiran.
Katanya, jika rakyat ingin mengatasi golongan yang mahu memecah-belahkan perpaduan kaum dan agama, rakyat harus ingat selain pelbagai sejarah, mereka juga terikat dengan sejarah kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan sejak 1957.
Beliau berkata, bagi mengurangkan jurang, membina kepercayaan dan memperluaskan sokongan untuk mengeratkan perhubungan antara semua rakyat, dasar bukan saja harus sah dari segi undang-undang tetapi juga sah dari segi moral, politik dan umum.
“Prestasi di luar jangkaan tiga negara Asean harus menjadi panduan yang memanfaatkan sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang memberi tumpuan kepada prestasi. Thailand jauh melebihi jangkaan khususnya sektor pelancongan dengan pertumbuhan paling tinggi sebagai destinasi pelancongan nombor satu, sementara pasaran sahamnya untuk 2012 adalah pasaran yang paling berprestasi di Asia dengan peningkatan 37 peratus berbanding 2011.
“Filipina pula adalah negara tumpuan dengan kadar pertumbuhan ekonomi melebihi enam peratus sementara pasaran sahamnya meningkat 33 peratus berbanding 2011. Manakala Indonesia adalah bintang Asean, bukan saja kerana saiznya tetapi kerana perangkaan pertumbuhan yang mengkagumkan,” katanya dalam perutusan Tahun Baru 2013.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, tiga negara memberi manfaat daripada populasi muda yang mahir dan kerajaan yang mementingkan ekonomi daripada politik, memilih prestasi dan polisi daripada ekstremisme kaum dan agama serta pemimpin yang memperjuangkan integriti dan menghukum korupsi.
“Rakyat Malaysia harus memberi perhatian kepada kejayaan tiga negara berkenaan dan memastikan kelakuan yang tidak baik tidak mendapat ganjaran tetapi dihukum serta menolak BN yang mengamalkan korupsi.
“Taktik memfitnah dan menakutkan rakyat bahwa perubahan akan membawa kepada Negara Kristian atau Negara Islam tidak akan laku lagi apabila Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang paling penting adalah demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka akan diadakan sebelum April 2013 harus berkisar pada persoalan parti manakah yang dapat menjanjikan kejayaan kepada mereka yang jujur, berusaha kuat, melabur pada masa depan dan mematuhi undang-undang dalam Malaysia yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan