Selepas hampir 20 tahun beroperasi kadar kutipan kedua-dua plaza tol ini telah meningkat hampir dua kali ganda.
PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor terus menggesa Kerajaan Persekutuan menutup operasi tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dengan segera sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan.
Gesaan itu juga akan disusuli dengan satu demonstrasi aman pada 13 Mei ini di kedua-dua tol tersebut.
Menurut Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri selepas hampir 20 tahun beroperasi kadar kutipan kedua-dua plaza tol ini telah meningkat hampir dua kali ganda.
Kutipan tol yang mula berkuatkuasa pada 15 November 1993 itu bermula dengan kadar 60 sen (Batu 3), 50 sen (Sungai Rasau) dan kini mencecah RM1.10 (Batu 3) dan RM1 (Sungai Rasau), kedua-duanya untuk kenderaan kelas 1.
Merujuk kepada penyata rasmi parlimen ternyata operasi kedua-dua plaza tol ini bertujuan untuk memindah beban pembayaran kos pembinaan dan pembesaran jalan Lebuhraya Persekutuan sepanjang 18 kilometer berjumlah RM357 juta kepada rakyat.
Tanggungjawab kerajaan
“Ini seharusnya tidak terjadi memandangkan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan semua kemudahan termasuk lebuhraya untuk manfaat semua rakyat.
“Jika dihitung secara terperinci keuntungan yang diperolehi oleh PLUS menerusi operasi kedua-dua plaza tol itu ternyata kos pembinaannya mampu dibiayai menerusi kutipan tol dalam tempoh kurang dari tiga tahun sahaja,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR Selangor di sini tengah hari tadi.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama para pimpinan PKR Selangor turut menyatakan sokongan penuh di atas kepimpinan
Timbalan Presidennya Mohamed Azmin Ali walaupun dilanda dakwaan berhubung foto skandal seks baru-baru ini.
Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin parti tidak akan terperangkap dengan permainan Umno -Barisan Nasional (BN) dan menyifatkan ini merupakan sidang media terakhir untuk menjawab segala pertuduhan didakwa dilakukan Umno-BN.
“Parti tidak akan melayan fitnah seperti ini sebab ia hanya perangkap untuk alih tumpuan pilihan raya. Kami mendesak agar Umno-BN jangan cuba guna taktik seperti ini untuk jatuhkan pimpinan Selangor,” kata Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang dan Ketua Wanita . parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan