Khamis, 3 Mei 2012

28 April hari kemenangan rakyat


Tarikh itu juga harus dikenang sebagai hari kemerdekaan dan penyatuan rakyat di mana ia merupakan himpunan terbesar rakyat Malaysia.

 

Oleh Badrul Hisham Shaharin


Pada 28 April 2012, waktu itu lebih kurang jam 7 petang berdekatan Masjid India Kuala Lumpur.

Ketika saya bersama seorang rakan melihat beberapa anggota polis beruniform tanpa tanda nama seolah merusuh merosakkan beberapa gerai penjaja di hadapan Masjid India, tiba–tiba saya dikerumun oleh sekumpulan lebih 15 anggota polis beruniform terus memukul, menumbuk, menendang saya dan kawan saya berkali kali.

Saya turut dipukul dengan objek tumpul.  Dalam keadaan lemah saya dibawa berjalan kaki dari kawasan Masjid India ke Dataran Merdeka berjalan kaki melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman. Sepanjang perjalanan ramai lagi anggota polis berlari datang memukul saya.

Sampai di Dataran Merdeka anggota polis yang membawa saya terus menjerit, “Woi, ni ha chegubard orang kuat Anwar bontot!”

Serentak dengan itu saya terus dikerumun berpuluh–puluh anggota polis (semuanya berunifrom) memukul dengan perbagai gaya, saya muntah, darah keluar dari telinga, luka di kepala, hidung dan mulut.

Saya jatuh terus dipijak dan disepak. Saya diangkat, saya merayu meminta belas kasihan, namun ketika itu seorang anggota polis terus melompat dan menendang dada saya.

Rayuan saya sia-sia kerana saya hanya merayu kepada manusia yang hatinya telah bertukar menjadi binatang. Saya rebah ketika itu ada yang menjerit rampas telefon dia.

Saya cuba rebahkan badan mengiring ke kiri kerana telefon bimbit saya dalam poket kiri. Ada polis seluk poket kanan saya dan mengeluarkan sesuatu dan menunjukkan kepada kawannya sambil bersorak.

Di mana saya sedar kemudiannya wang tunai kira–kira lebih RM200 dalam poket kanan telah hilang.

Anggota polis ada yang menghina dengan perkataan lucah (seperti mak kau ni pelacur), maki hamun bersifat permusuhan kaum dan agama (seperti kau ni hamba keling, kau pun pergilah sembah patung macam keling).

Malah saya turut di ugut bunuh dengan menyatakan kalau berani buatlah report panggil media, jangan harap kami akan kena tindakan tetapi kau yang akan kena pijak sampai mampus. Saya juga diludah.

‘Kau bunuh polis ya’……..

 
Ada juga anggota polis yang sebut “kau bunuh polis ya……..kalau aku bunuh kau tak siapa tahu tau.”

Sampai di hujung padang Dataran Merdeka, saya dimasukkan ke dalam trak bersama kawan saya dan dalam trak ada 13 orang lagi. Trak tertutup dengan ruang udara amat terhad amat panas, dalam keadaan berhimpit, kesakitan dan luka kami dibiarkan.

Tiga puluh minit terbiar di Dataran Merdeka sebelum trak berjalan, hampir sejam perjalanan dan 30 minit terus dibiar apabila tiba di destinasi Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak.

Di Pulapol saya mohon untuk membuat laporan polis tetapi anggota polis cuma suruh saya tunggu. Saya tolak untuk dapat rawatan dalam tahanan. Tidak ada sebarang kenyataan diambil. Saya hanya diminta serahkan MyKad dan gambar saya dirakamkan.

Saya hanya dibebaskan sekitar jam 2.30 pagi dan dipaksa menaiki bas dan turun dipintu belakang Pulapol.

Saya terus dikejarkan oleh teman–teman yang menanti diluar untuk mendapatkan rawatan di HUKM, Cheras.

Saya mohon satu siasatan dan tindakan wajar diambil. Jelas sejak dari awal perhimpunan sebelum apa–apa berlaku, polis sudah tidak memakai tanda nama? Maknanya mereka sudah merancang untuk mengganas dari awal? Adakah semua ini dirancang oleh pihak atasan?

Saya tegaskan walaupun dipukul dan dihina teruk saya tidak menyalahkan anggota polis. Polis juga mangsa seperti rakyat lain. Polis telah diperbodohkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

Pertama sekali bayangkan jika Dataran Merdeka dibuka, semua akan berlangsung aman. Polis telah dipergunakan oleh Najib Razak yang penuh ketakutan dengan bayang–bayang sendiri kerana pilihanraya terlalu hampir tetapi dia sedar kebencian rakyat terhadapnya pula tidak berkurangan.

Keduanya kalau ada pun kesalahan, ada beberapa peserta demonstrasi tolak halangan polis kerana termakan provokasi tetapi kami tetap tidak langgar perintah mahkamah iaitu kami tidak memijak padang Dataran Merdeka.

Namun tolakan terhadap halangan polis itu yang kemudian jelas semua berundur tidak sama sekali menghalalkan rakyat dipukul, cubaan polis menggunakan kenderaan melanggar demonstran di kawasan yang ternyata jauh dari kawasan perintah mahkamah.

Hari Rusuhan Polis


Saya melihat sendiri kejadian sekumpulan anggota polis sekitar sejam setengah sebelum saya ditahan saya berada di hadapan Hotel Quality Jalan Raja Laut.

Bagaimana sekumpulan anggota polis bermotosikal dan berkereta (termasuk MPV) memandu laju cuba melanggar demonstran dan berhenti serentak mengejar demonstran lalu menarik beberapa yang berjaya ditangkap untuk dibelasah di tengah-tengah kumpulan mereka.

Saya yang kebetulan ada di situ bersama beberapa anak muda menegur seorang anggota polis yang menarik tudung seorang wanita tua. Malangnya saya dihalakan pistol dan dijerkah supaya diam.

Kononnya polis bertindak kerana khabar angin ada anggota polis mati. Khabar angin ini dibawa oleh agen–agen BN sendiri. Polis sendiri bertindak kerana tertipu dengan agen BN, polis dimangsakan.

Umno-BN menipu dan ‘brainwash’ polis untuk menukar mereka supaya menjadi alat regim yang hilang pertimbangan.

Polis perlu sedar hakikat ini. Kalau bersalah pun saya tujukan kepada anggota atasan polis yang sedar dan bersekongkol dengan pemimpin regim memperkudakan anggota bawahan di lapangan. Najib Razak dan sepupunya Hishammuddin Hussein perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap apa yang terjadi.

Tarikh 28 April 2012 harus dikenang sebagai Hari Rusuhan Polis yang memukul, melanggar, menangkap, memaki hamun, mencuri, merosakkan harta benda kerana diperalat dan diperdaya regim BN.

Selain itu tarikh itu harus dikenang sebagai hari kemerdekaan dan penyatuan rakyat dimana ia merupakan himpunan terbesar rakyat

Malaysia perbagai latar belakang bersatu dalam menuntut kebaikan untuk negara tercinta.

Jika benar penganjur berniat jahat, bayangkan kekuatan 200,000 lebih orang kalau digunakan untuk berdepan dengan hanya 10,000 anggota polis pasti tidak mampu ditahan lagi.

Namun itu bukan tujuannya. Jangan lari fokus mengenai siapa pecah pagar atau sebagainya… isu utamanya ialah jangan ada PRU sebelum senarai pemilih dibersihan, pembersihan SPR harus bermula dengan Ketua dan Timbalannya yang jelas ahli Umno harus letak jawatan.

Mana ada dalam dunia pengendali pilihanraya anggota parti politik? Bayangkan jika perlawanan bola sepak pengadil turun ke padang memakai jersey salah satu pasukan sudah tentu kecoh stadium.


*Penulis yang juga dikenali sebagai Che’GuBard, ialah Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia dan Ketua Cabang PKR Rembau.

Tiada ulasan: