Nazri Abdullah, |
Orang ramai yang terperangkap di laluan bawah KL Sentral akibat serangan gas pemedih mata FRU.
KUALA LUMPUR: Panel Siasatan Suhakam hari ini mendakwa tembakan gas pemedih mata oleh polis di KL Sentral pada himpunan Bersih 2.0 juga tidak bersesuaian dengan keadaan dan faktor lokasi.
"Tempat menunggu bas tersebut adalah separuh tertutup dan akses untuk peserta-peserta himpunan bersurai secara teratur dan selamat adalah terbatas di mana hanya terdapat satu tangga dan satu eskalator untuk keluar dari ruang ini.
"Panel mendapati bahawa tembakan gas pemedih mata telah dilepaskan oleh PDRM dari dua arah yang bertentangan dan ini telah menimbulkan kemungkinan kecederaan atau kematian terhadap peserta perhimpunan yang berada di kawasan berkenaan," laporan siasatan itu dipetik.
Laporan siasatan itu turut dibaca kepada media pada sidang akhbar di pejabat Suhakam di sini tengahari tadi.
Sidang media itu dikendalikan Pengerusi Panel Prof Datuk Dr. Khaw Lake Tee yang juga Timbalan Pengerusi Suhakam dan dua ahli panel lain iaitu Prof Datuk Dr Mahnood Zuhdi Abd Majid dan Detta Anak Samen.
Sementara itu, panel siasatan turut mengesyorkan pihak polis agar tidak menggunakan sebarang senjata yang berisiko terhadap keselamatan orang ramai di dalam mahupun di sekitar kawasan awam.
Ianya termasuk, hospital, sekolah, tempat-tempat ibadah dan tempat-tempat dikategorikan sebagai kawasan awam yang lain.
Syor itu dibuat merujuk kepada tindakan pihak polis menembak meriam air dan gas pemedih mata di kawasan Hospital Tung Shin (HTS) dan Hospital Bersalin Cina (HBC) pada himpunan Bersih 2.0 Julai tahun lalu.
"Panel berpendapat bahawa walaupun tiada bukti dikemukakan bahawa gas pemedih mata dilepaskan ke dalam perkarangan HTS, gas pemedih mata yang dilepaskan di sekitar jalan pudu berkemungkinan memasuki HTS.
"Panel juga berpendapat bahawa tembakan meriam air dan gas pemedih mata telah dilepaskan dari kedua arah bertentangan dan ini menyebabkan peserta perhimpunan tersepit dan mengalami kesukaran untuk bersurai,' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan