Isnin, 21 Mei 2012

PR umum calon PRU13 bulan depan

RUWAIDA MD ZAIN

Azmin (tengah) bersama wakil PKR Selangor selepas pelancaran SISMEP3.0
Azmin (tengah) bersama wakil PKR Selangor selepas pelancaran SISMEP3.0 dan
penyerahan Bahan Kempen PRU13 yang mengandungi pelbagai maklumat
berkaitan pilihan raya.
 
PETALING JAYA - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menjangkakan Pakatan Rakyat (PR) bakal mengumumkan pengagihan kerusi dan calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) awal bulan depan.

Menurutnya, PR akan menampilkan ramai muka baru dalam kalangan anak muda, namun calon yang mempunyai pimpinan akar umbi tidak diketepikan.

“(Pengumuman akan dibuat) minggu pertama Jun, saya kira kita boleh membuat satu ketetapan tentang pengagihan kerusi dalam PR, saya cukup optimistik. Pengumuman calon kita tengok suasana sesuai. Parti akan menonjolkan muka baru dalam kalangan anak muda, profesional dan wanita muda untuk mewakili parti.

“Ini dalam proses akhir, yang penting kita mahu anak muda hari ini diberikan tempat dan ruang untuk mewakili rakyat dalam menggubal dasar sama ada di peringkat Parlimen atau negeri. Ini satu penghormatan dan pengiktirafan kita kepada anak muda untuk menentukan negara dan negeri,” katanya pada sidang media selepas pelancaran SISMEP3.0 & Penyerahan Bahan Kempen PRU13 Peringkat Negeri Selangor, semalam.

Azmin berkata, Selangor adalah negeri pertama dimuktamadkan pembahagian kerusi bersama anggota PR.

“Satu mesyuarat PR khusus mengenai pembahagian kerusi beberapa hari lalu diadakan, jumlah yang bertindih terlalu kecil. Boleh dikatakan setiap negeri ada satu atau dua kerusi sahaja yang perlu diselesaikan. Ini satu pencapaian cukup positif.

“Saya gembira kerana dukungan pimpinan PR, kita dapat selesaikan dengan cara muafakat,” katanya.

Mengulas mengenai SISMEP 3.0 katanya, ia mula diperkenalkan pada 2006 yang dilaksanakan sepenuhnya pada 2008 dan kini parti menambah baik sistem pengkomputeran yang dapat mengesan pergerakan pemilih daripada satu lokaliti kepada satu lokaliti yang lain.

Beliau berkata, sistem tersebut penting kerana masalah daftar pemilih yang tidak bersih timbul kerana keengganan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) untuk mengambil satu usaha lebih proaktif membersihkan dasar pemilih.

Katanya, sistem tersebut juga penting untuk melihat prestasi parti dalam 2008 berbanding dengan Barisan Nasional (BN) di sesuatu kawasan dan ia akan membantu gerak kerja jentera parti bagi melihat tindakan yang harus diambil bagi menangani masalah tersebut.

Tiada ulasan: