Jumaat, 18 Mei 2012

Minyak pengasih: Misteri kucing dicuri

KL TODAY

 


Seseorang aktivis haiwan yang menyiasat mengapa banyak kucing dilaporkan hilang sejak kebelakangan ini mendapati haiwan itu digunakan bagi menghasilkan minyak ‘pengasih.’Persatuan Pencegahan Kekejaman Haiwan (SPCA) sebelum ini menerima laporan banyak kucing di Melaka telah hilang dari rumah pemiliknya sejak September.Dalam kes baru-baru ini, seorang wanita berusia 45 tahun di Padang Temu mendapatkan bantuan SPCA selepas kucing Parsi miliknya hilang.

Pengerusi SPCA Melaka, Vincent Low, bersama beberapa orang ahli dan Pegawai publisiti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Tan Joek Kwang, melawat pemilik kucing berkenaan, Cik Christine, bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Selama beberapa hari, beberapa petunjuk membawa Encik Low ke sebuah rumah di pinggir bandar dan beliau mendapati seorang wanita Indonesia yang hidup dengan puluhan ekor kucing.

‘Hanya selepas itu, saya mengetahui bahawa bulu dan air liur kucing digunakan dalam upacara membuat minyak pengasih,’ katanya yang ditukil laman berita mStar Online.

Beliau berkata wanita itu mendakwa beliau hanya memberi perlindungan kepada kucing dan tidak mencurinya.

Wanita itu bagaimanapun kemudian mengakui bahawa beliau merendam air liur dan bulu kucing bersama pakaian dalam yang telah digunakan bagi membuat ubat pengasih.

Encik Low berkata wanita itu mendakwa minyak pengasih yang dihasilkannya membantu mengukuhkan ikatan di antara pasangan dan juga berfungsi sebagai antipenuaan.

Hasil lawatan beliau, Encik Low merampas empat ekor kucing.

Pada Selasa lalu, beliau ke sana sekali lagi mengambil lapan ekor kucing lagi tetapi wanita itu telah menghilangkan diri.

Encik Low berkata terdapat kes-kes warga asing yang menangkap kucing jalanan untuk dimasak.

Tiada ulasan: