Jumaat, 4 Mei 2012

Indeks menurun, bukti Najib tak ikhlas reformasi kebebasan media

Mohd Martin Kahar


KUALA LUMPUR : Penurunan indeks kebebasan media daripada 143 kepada 144 yang dikeluarkan Freedom House membuktikan liberalisasi media oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya retorik.

 Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, lebih malang indeks itu menurun selepas kerajaan Najib meminda Akta Mesin Cetak dan Akta Penerbitan kononnya ke arah kebebasan media.
 
“Saya tidak terkejut. Penurunan sepatutnya lebih teruk daripada itu. Serangan bertubi-tubi ke atas petugas media pada perhimpunan Bersih 3.0 bertujuan menyekat mereka melaporkan berita yang benar.

“Insiden paling malang itu menyebabkan mereka (media) membuat protes membantah kekasaran terhadap mereka sewaktu menjalankan tugas. Adakah ini yang dikatakan kebebasan media oleh Najib?

“Najib tidak ikhlas mereformasi kebebasan media dan lebih malang ia berlaku selepas beliau meminda akta kononnya untuk menjadikan kebebasan media lebih baik,” katanya dihubungi Keadilan Daily.

Freedom House, badan yang menyokong kebebasan demokrasi dan hak asasi, mengeluarkan laporan, kebebasan akhbar Malaysia jatuh satu anak tangga pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Menurut kaji selidik itu, 10 negara terbaik adalah Finland, Norway, Sweden, Belgium, Denmark, Luxembourg, Belanda, Switzerland, Andorra, Iceland dan Liechtenstein.

Manakala 10 negara terburuk Myanmar, China, Syria, Cuba, Guinea Khatulistiwa, Iran, Belarus, Eritrea, Uzbekistan, Turkmenistan dan Korea Utara.

Di Asia Tenggara, Timor Timur (75), Filipina (88), Indonesia (97), dan Thailand (132) menduduki tangga lebih baik dan dikategori  ‘sebahagian bebas’ manakala Malaysia (144) masih dalam kategori ‘tidak bebas’.

Sebanyak 197 negara tersenarai dalam kaji selidik oleh organisasi yang berpangkalan di  Washington DC, Amerika Syarikat.

Pada masa sama, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mendesak Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap penurunan itu kerana ia bercanggah dengan janjinya membawa kebebasan media di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ), Chin Sung Chew yang masih tidak berpuas hati dengan kebebasan media negara ini mendesak kerajaan menghapuskan semua akta yang mengongkong kebebasan media.

“Kekasaran terhadap petugas media pada Bersih 3.0 mencetuskan perspektif negatif masyarakat terhadap kebebasan media. Jadi saya menyeru kerajaan mengotakan janji untuk membawa kebebasan media lebih baik,” katanya.

Tiada ulasan: