Jumaat, 4 Mei 2012

Hitam menjadi tema Hari Kebebasan Media sedunia




Empat akhbar bahasa Cina di bawah Media Chinese International Limited menjadikan warna hitam sebagai temanya di muka depan, untuk memprotes keganasan polis terhadap wartawan yang membuat liputan dalam perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April 2012.  Di samping itu, Kwong Wah Yit Poh juga menjadikan muka depannya hitam-putih untuk meluahkan ketidakpuasan.

Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, China Press dan Guang Ming Daily di bawah kumpulan Media Chinese International Limited hari ini menggunakan muka depan akhbarnya untuk menyatakan ketidakpuasan terhadap tindakan polis mengasari wartawan dan jurugambar yang membuat liputan dalam perhimpunan BERSIH 3.0, baru-baru ini.

Antaranya, seluruh muka depan Nanyang Siang Pau menjadi hitam-putih, dengan reben kuning sebagai lambang kebebasan media; Sin Chew Daily mengekalkan ruang iklan berwarna; Guang Ming Daily hanya mengekalkan tajuk dan ruang iklannya berwarna; dan China Press dengan hitam semuanya di bahagian atas (separuh), dan berwana pada bahagian bawah (separuh).

Kakitangan di bawah empat buah syarikat media ini juga menyahut seruan The Malaysia Chinese Photojournalists Association (MCPA) untuk memakai baju hitam dan riben kuning, sebagai tanda protes.

Dalam notis yang disiarkan pada muka depan, Nanyang Siang Pau (gambar kiri) menulis, "Ya, muka depan hari ini diterbitkan dalam hitam-putih, yang menampung ketidakpuasan, kemarahan dan kekecewaan Nanyang Siang Pau."

"Sehingga hari ini, kami masih belum reda.  Ini kerana selepas beberapa hari pengamal media dibelasah, dirampas kamera, dipadamkan kad memorinya, masih tiada pengawai tinggi yang sanggup bertanggungjawab ke atas peristiwa itu, apatah lagi menyatakan hasrat untuk memohon maaf."

"Sempena Hari Kebebasan Media sedunia, kakitangan editorial pihak kami di seluruh Negara menyahut seruan MCPA untuk memakai baju hitam.  Kami berharap, dengan sistem pertanggungjawaban, pihak berkuasa mendedahkan apa yang gelap dalam pasukan polis, mencantas perosak dalamnya dan mengembalikan nama baik untuk polis yang baik.  Pada masa yang sama kami memakai riben kuning, dengan harapan pengamal media boleh menjalankan tugas dalam suasana yang selamat."

Kebebasan bersuara paling penting
China Press pula mengadu, "Hey, pada 28 April, buku lima kamu telah melukai wajah kebebasan media Malaysia, yang mengalirkan air mata berwarna hitam.  Hey hey, hari ini kami menyarung warna hitam, bukan sahaja menuntut agar anda nampak, tetapi mendengar kata-kata kami.  Hey hey hey, hari ini kami adalah vokalis, anda dengarlah apa yang kami nyanyikan."

China Press berkata, apa yang paling penting dalam semangat kebebasan yang dinikmati oleh seseorang warga negara adalah kebebasan bersuara.  Kebebasan akhbar adalah lanjutan daripada kebebasan bersuara.  Sebagaimana yang tertera dalam Virginia Declaration of Rights, "Kebebasan akhbar adalah asas kepada segala kebebasan bersuara.  Mana-mana regim sekalipun tidak harus menghalang kebebasan ini."

"Tiada kebebasan yang mutlak dalam dunia ini.  Kami percaya, sepanjang ini kami akur untuk berada dalam keadaaan tertekan tanpa boleh berbuat apa-apa.  Apa yang dimahukan sebenarnya tidak banyak.  Kami mahu pihak polis mengambil berat apa yang kami ambil berat.  Berikan kebebasan untuk rakyat negara ini, bukan ketakutan; berikan keberanian kepada rakyat, bukan kemarahan," tambah China Press (gambar kanan).

Di samping itu, Kwong Wah Yit Poh juga mempersoalkan siapa yang memasukkan pencakar ke dalam (media)?  Kwong Wah Yit Poh berkata, 428 menyaksikan pencakar yang tidak asing itu kembali semula untuk menghalang pengamal media di garis depan menjalankan tugasnya, malah menggunakan keganasan.

"Tahun ini, Hari Kebebasan Media sedunia kebetulan telah mengejutkan kemarahan yang sekian lama ini terpendam dalam pengamal media.  Kami bersuara di depan penguasa, memperjuangkan ruang kebebasan media; kami bersuara di depan warga internet, laporan berasaskan kebenaran lebih penting daripada memutarbelitkan berita."

*Disedut dan diterjemah dari teks asal.

Tiada ulasan: