Isnin, 14 Mei 2012

Bekas naib pengerusi KOSWIP didenda, penjara

SINAR HARIAN

SHAH ALAM - Bekas naib pengerusi Koperasi Pegawai Kerajaan Selangor dan Wilayah Persekutuan (KOSWIP) dijatuhi hukuman penjara 14hari dan denda RM500,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM100,000, tujuh tahun lepas.

Hakim Asmadi Hussin juga memerintahkan tertuduh, Sharuddin Abdul Malek, 49,dipenjara lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Tertuduh mengaku menerima rasuah daripada seorang pengarah syarikat sebagaiupah mendapatkan kontrak bernilai lebih RM1 juta.

Sharuddin didakwa menerima rasuah itu daripada Pengarah Urusan CAETechnologies Sdn Bhd, Mokhtar Ismail, sebagai upah membantu CAE Technologiesmendapatkan kontrak daripada Koswip untuk membekal, membangun dan menyelenggara sistem rangkaian dan portal sistem maklumat koperasi itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 17 hingga 19 Sept 2005 di Pasaraya Big 7, Wisma MAIS Jalan RU 3/9A Seksyen 3 di sini.

Lelaki itu yang kini mengambil upah memotong rumput didakwa mengikut Seksyen10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana yang lebih tinggi.

Mengikut fakta kes, pada Mei 2005 tertuduh bertemu Mokhtar untuk berbincang mengenai kontrak sistem komputer Koswip dan selepas Mokhtar bersetuju menerima tugas berkenaan tertuduh telah meminta RM300,000 sebagai upah tetapi Mokhtar hanya mampu membayar RM270,000 yang akan dimasukkan ke dalam akaun milik abang tertuduh.

Tertuduh kemudian mencadangkan kepada ahli lembaga pengarah Koswip bahawa CAE Technologies boleh mengkaji sistem komputer Koswip. Syarikat itu menandatangani kontrak dengan Koswip pada 8 Sept 2005 dengan harga tawaran RM1,496,500.

Selepas syarikat itu menerima 30 peratus bayaran daripada Koswip , Mokhtar menyerahkan cek berjumlah RM100,000 atas nama syarikat abang tertuduh kepada tertuduh di Pasaraya Big 7 dan tertuduh kemudian memasukkan sendiri cek berkenaan ke dalam akaun syarikat abangnya.

Terdahulu, peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya bukan lagi penjawat awam.

Beliau berkata tertuduh yang kini bekerja kampung menanggung lima anaknya yang berusia antara 11 dan 26 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sinti daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mewakili pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan rasuah merupakan kesalahan serius. - Bernama

Tiada ulasan: