Khamis, 3 Mei 2012

PKR: Tolak budaya fitnah Umno

 
Apabila terdesak maka Umno beralih kepada kepakaran sebenar mereka iaitu mencipta fitnah. 




PETALING JAYA: PKR mengutuk keras tindakan terbaru Umno dan para pengendali laman-laman blog upahan mereka yang menjadikan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali sebagai mangsa fitnah mereka.

Setiausaha Agung Dato’ Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR menggesa Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak tampil mengambil tanggungjawab dan tidak lagi bersikap ‘baling batu sembunyi tangan’.

“Hakikat bahawa media kawalan Umno seperti Utusan Malaysia dan TV3 yang begitu bernafsu
menyambung fitnah terhadap Azmin sekadar mengesahkan peranan Najib yang memberikan laluan lampu hijau.

“Budaya politik kotor yang di luar batas adab dan akhlaq ini sewajarnya dihentikan,” kata Ahli Parlimen Machang dalam satu kenyataan media hari ini.

Ujar beliau, budaya fitnah ini amat jauh dari pendekatan wasatiyyah yang dilaungkan oleh Najib dalam pemaknaan dan pengertian dididik dan diteladankan oleh Nabi Muhamad saw melalui rentetan sirah.

“Apabila Umno terdesak menghadapi kebangkitan dan penolakan rakyat terhadap mereka sepertimana peristiwa Bersih 3.0 maka Umno,beralih kepada kepakaran sebenar mereka iaitu mencipta fitnah,” jelasnya.

Rakyat mampu beza hak dan batil

Saifuddin menerangkan bahawa harapan Umno agar rakyat dapat melupakan perbuatan ganas polis ke atas rakyat, SPR yang terus memanipulasikan pilihanraya dan propaganda media kawalan Umno yang membuta tuli mempertahankan fitnah dan kezaliman mereka.

“PKR lantas mengajak rakyat mengambil pengajaran daripada peristiwa fitnah yang menimpa isteri kesayangan Nabi Muhamad saw Ummul Mukminin Aisyah ra yang difitnah berbuat jahat dengan seorang sahabat yang terkenal wara’ dan kebaikannya.

“Peristiwa ini mendedahkan peranan golongan munafik yang mencipta dan menjaja fitnah ini. Golongan ini wajib ditolak dan ditentang habis-habisan.

“Peristiwa ini juga memberi pengajaran bahawa membanteras perbuatan fitnah menjadi tugas dan kewajipan sesama Muslim demi melindungi dan memelihara maruah saudara seagama,” tegas beliau.

Justeru  itu katanya, PKR mengajak rakyat seluruhnya menolak dan meninggalkan Umno yang terus mengamalkan politik fitnah pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

“Rakyat semakin matang dan jika Umno beranggapan mereka terus boleh kekal berkuasa dengan politik fitnah ini ternyata Umno silap besar. Rakyat mampu membezakan di antara haq-batil, adil-zalim dan mahmudah-mazmumah,” ujar beliau.

Tiada ulasan: