KUALA LUMPUR : Skandal projek lembu oleh National Feedlot Corporation (NFC) yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, terus menerima kecaman banyak pihak selepas isu itu didedahkan beberapa minggu lalu.
Ia berikutan kerugian operasi syarikat berkenaan dan kegagalannya mencapai sasaran penternakan lembu, meskipun mendapat peruntukan dana sebanyak RM250 juta.
Antara lain, NFC didakwa membeli dua unit kondominum mewah di Bangsar, termasuk membeli kereta mewah Mercedes Benz dan membiayai percutian keluarga Shahrizat ke luar negara.
Tinjauan yang dijalankan Keadilan Daily mendapati rata-rata orang ramai yang ditemui mahu kerajaan memberi penjelasan berhubung penyelewengan dana berkenaan.
Seorang pekerja sektor kerajaan Abdul Majid, 46, ketika ditemui menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap penafian Shahrizat dengan syarikat milik suaminya itu.
“Ini bukan duit yang sikit. Projek Lembu ini besar dan dana RM250 juta adalah jumlah yang besar. Rakyat berhak tahu bagaimana wang dana rakyat yang disalurkan.
“Dia (Shahrizat) kata tiada kaitan dengan perniagaan suaminya. Kita boleh fikir secara logik akal. Takkanlah tiada apa-apa pengaruh dari jawatannya dalam projek tersebut?,” soal beliau.
Seorang pelajar kolej swasta, Nabila Wan Mohd, 21 pula menganggap sesuatu projek yang melibatkan dana awam, perlu diuruskan secara amanah dan tidak patut diselewengkan.
“Bila kita dah diberi kepercayaan untuk menjayakan satu projek. Kita perlu amanah dan tidak sewenangnya menggunakan duit rakyat sesuka hati. Beliau (Shahrizat) perlu jawab bukan hanya nafi. Duit dari Kerajaan adalah hasil duit rakyat,” ujarnya.
Manakala pekerja swasta Aidil Ali, 26 pula berkata, beliau sudah lali mendengar isu-isu yang mengaitkan penyelewengan duit rakyat.
Bagi beliau, penganugerah kontrak dari Kerajaan sepatutnya dibuat secara terbuka dan bukannya hanya kepada individu berkepentingan dan kroni.
“Projek Lembu tersebut tidak sampai ke orang awam yang sepatutnya lebih telus perlaksanaannya. Saya ada kawan yang cuba untuk mendapatkan tender ini namun kertas cadangan mereka ditolak,” katanya.
Namun berbeza pendapat Midy Lian, 51 seorang suri rumah, beliau menganggap penganugerahan kontrak kepada kroni bukan isu utama tetapi cara ia dikendalikan.
“Perniagaan tetap perniagaan dan saya tidak kisah siapa punya projek tetapi projek lembu tersebut perlu telus agar rakyat tahu kemana perginya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan