Sabtu, 31 Disember 2011

Ayuh Aspirasi bergabung, jangan jadi orang suruhan

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR-Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) diajak berjuang untuk menghapuskan Akta niversiti dan Kolej Universiti (Auku).

Demikian gesaan Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor yang melihat Aspirasi akhir-akhir ini semakin lantang bersuara dengan mempamerkan diri sebagai kumpulan penyokong Umno.

Baginya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat semakin terdesak yang mana kekuatan kepada jentera Pemuda Umno sudah terhakis dengan adegan-adegan kurang matang ahli Umno.

Beliau berkata, politik ludah dan politik lucah hanya semata-mata peluru mereka, ketajaman para pemuda dalam Umno sudah tumpul, mereka tidak lagi menjadi harapan Umno.

Maka, katanya Aspirasi penjuru terakhir untuk menarik golongan anak muda.

"Saya kira Aspirasi seolah-olah 'lembu ditarik hidungnya', sangat jelik apabila mereka menganjurkan demonstrasi untuk membantah demonstrasi.

“Jika benar kalian perjuangkan keamanan dan keadilan, ayuh bersama-sama kita berjuang mansuhkan Auku, hapuskan akta-akta 'rimba', jangan jadi orang suruhan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mencabar pengerusi Aspirasi untuk mengemukakan hujah bernas berteraskan ilmu, apakah kesalahan Adam Adli kerana mereka mengecam pula himpunan membebaskan mahasiswa UPSI itu.

Justeru, katanya jangan memberi hujah 'atas angin' kerana tiada dalam mana-mana peraturan mengatakan bahawa menurunkan bendera (gambar PM) dengan sengaja adalah bersalah.

“Jika mahu bercakap soal adab dan akhlak, saya minta anda semua turun ke medan lapangan mahasiswa dan anak muda. Di sana masih ramai dahagakan adab dan akhlak daripada anda.

“Paling penting, lihat ahli anda dahulu, apakah mereka sudah cukup beradab dan berakhlak dalam agama.

“Mahasiswa bawahan sangat perlukan tunjuk ajar untuk mendayung sampan di laut, bukan doktrin Umno anda!" katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru Aspirasi supaya berubah.

"Ayuh Aspirasi, sudah tiba anda berubah. Jika benarlah perjuangan anda adalah menuntut keadilan dan keamanan, bukan kerana Umno.

“Saya menyeru kalian semua untuk bersama-sama Gamis, PKPIM, Kami, Dema, LMP dan sebagainya dalam satu solidariti yang kukuh, bebas daripada mana-mana anasir parti. Turun bersama menyokong kebebasan Adam Adli, bukan mengampu pihak atasan," ujarnya.

Tegasnya lagi, sudah sampai masanya untuk anak muda berada dalam satu kumpulan yang kukuh, memahami tuntutan mereka terhadap negara dan menjadi golongan third force dalam menyemak dan imbang pentadbiran negara Malaysia, bukan menjadi kuda tunggangan pihak-pihak tertentu.-Harakahdaily

Tiada ulasan: