KUALA LUMPUR: Tarikh perbicaraan bagi saman pemula yang difailkan terhadap Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) oleh empat ahli KPF akan diketahui esok.
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, pihaknya berharap Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh akan menetapkan tarikh perbicaraan sebelum 5 Januari kerana tujuan saman itu difailkan adalah untuk memohon injunksi mahkamah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada tarikh tersebut.
"Kami sangat-sangat berharap kes ini dapat dibicarakan segera sebelum 5 Januari bagi menghalang mesyuarat itu kerana kedudukan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF sangat diragui," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Selain menghalang mesyuarat agung KPF diadakan, saman pemula yang difailkan Jumaat lalu turut memhon injuksi bagi menghalang penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia (BSKL) dan pelupusan ekuiti KPF dalam Felda Holding.
Ia difailkan oleh Rosdi Ismail, Alias Ibrahim, Abdullah Mohamad dan Rakiah Sulong yang kesemuanya dari Felda Jengka 15, Pahang.
Menurut Mazlan juga, Anak akan membuat bantahan kedua kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rabu ini berhubung status Isa sebagai Pengerusi Felda.
Ini kerana katanya, timbul kekeliruan apabila SKM melalui suratnya selepas bantahan pertama Oktober lalu menyatakan bahawa Isa belum sah sebagai Pengerusi Felda.
Namun Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri dalam suratnya menyatakan sebaliknya.
"Timbul kekeliruan dan kecelaruan dalam perkara ini. Apa status Isa sebenaranya?
"Sebab itu jugalah kita nak halang mesyuarat KPF diadakan kerana ia akan dipengerusikan oleh Isa sedangkan statusnya masih ragu-ragu," jelas Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.
Anak bergabung dengan 11 NGO
Sementara itu, Mazlan berkata, Anak bersama 11 badan bukan kerajaan (NGO) bersepakat untuk bergabung bagi menangani isu penyenaraian FGVH ke Bursa Saham.
"Selepas mengadakan mesyuarat dengan 11 NGO, kami membuat ketetapan isu penyenaraian ini perlu ditangani melalui kombinasi badan-badan bukan kerajaan seperti isu juga isu PPSMI, Bersih dan lain-lain.
"Kita memerlukan pendekatan yang serupa bagi mengukuhkan gerakan melalui NGO dan dalam masa terdekat kita akan adakan sidang media bersama ketua-ketua NGO dan kita yakin dalam tempoh sebulan boleh gabungkan 30 NGO," katanya.
Tegasnya juga, gabungan ini tidak teragak-agak menjadikan demonstrasi sebagai langkah terakhir sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertegas mahu melakukan penyenaraian FGVH.
"Sekiranya pm masih bertegas untuk penyenaraian kita terpaksa guna cara jalanan iaitu menyerahkan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong memohon campur tangan dan kita jangka demonstrasi pada bulan Februari," katanya lagi.
Selain itu ujar Mazlan, beliau akan bertemu dengan veteran Umno yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bagi membincangkan perkara ini.
"Saya mendapat maklum balas beberapa tokoh antaranya Tengku Razaleigh yang merupakan salah seorang yang terlibat bersama Tun Abdul Razak mengasaskan Felda.
"Beliau antara orang yang terasa apabila Felda ingin disenaraikan ke BSKL kerana menurutnya ialah institusi perkhidmatan kepada rakyat yang harus ditangani mengiikut kaedah berbeza daripada syarikat korporat yang lain," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan