Isnin, 26 Disember 2011

Ramasamy: The Star punca pertelingkahan dengan Karpal


KUALA LUMPUR — Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P. Ramasamy hari ini menyalahkan akhbar The Star atas pengeluaran artikel yang menjadi punca pertelingkahan dirinya dengan Karpal Singh kerana memutar belitkan fakta.

Ramasamy mendakwa kenyataannya berkenaan terdapat penyelewengan dalam kalangan pemimpin DAP dan pergerakan untuk menyingkirkan dirinya dari dalam parti seperti yang dilaporkan akhbar The Star pada 23 Disember lalu adalah tidak benar dan berasas.

Menurut Ahli Parlimen Batu Kawan ini, kenyataan yang dibuatnya adalah berkisar pembangunan Pulau Pinang dan bukannya terdapat cubaan untuk menyingkirkan dirinya dari parti dan penyelewengan dalam DAP.

“Punca kepada kontoversi yang timbul baru-baru ini adalah daripada perbualan saya dengan dua wartawan, seorang dari The Star dan seorang lagi daripada wartawan ‘online’ pada 21 Disember.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Saya yakin 99 peratus daripada perbualan berkenaan hanya berkisar berkenaan pembangunan Pulau Pinang dan tidak melibatkan sebarang tuduhan terhadap pemimpin DAP,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, “kenyataan yang dikeluarkan oleh The Star itu adalah tidak berasas dan dilakukan dengan sewenang-wenangnya”.

“Saya tidak pernah membuat kenyataan sedemikian, dan wartawan terbabit turut menyatakan kekesalan terhadap perkara yang berlaku.

Menurut Ramasamy (gambar) lagi, wartawan ‘online’ terbabit turut menyemak semula kenyataannya dan mengesahkan beliau tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Saya sudah menyatakan kekesalan kepada wartawan terbabit atas berita yang dikeluarkan, dan wartawan berkenaan berjanji akan memperbetulkan kesilapan terbabit, namun begitu, keesokan harinya, kenyataan yang dikeluarkan dalam satu ayat itu berbunyi ‘‘ Professor menukar kenyataan lagi’’ dan pada hari yang sama juga, Pengerusi DAP, Karpal Singh menuntut saya meletak jawatan,” katanya menjelaskan perkara itu dalam sidang media di sini.

Ketika ditanya berkenaan krisis antara dirinya dan Karpal, Ramasamy enggan memberikan sebarang ulasan, sebaliknya menyerahkannya kepada pimpinan parti itu.

“Tiada komen, saya tidak mempunyai masalah dengan Pengerusi DAP, biar parti yang tentukan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: