Sabtu, 31 Disember 2011

Aduan dakwaan hakim plagiat penghakiman ditolak


MALAYSIA KINI

Siasatan yang dijalankan oleh Ketua Hakim Negara mendapati dakwaan peguam Karpal Singh bahawa seorang hakim Mahkamah Rayuan telah memplagiat penghakiman seorang hakim mahkamah Singapura pada 2000 tidak mempunyai merit.

Berikutan itu, aduan tersebut ditolak, kata pegawai khas 1 kepada Ketua Hakim Negara, Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Dalam satu kenyataannya hari ini, beliau berkata Karpal telah dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara itu melalui surat dari pejabat Ketua Hakim Negara.

Menurut Che Wan Zaidi, Ketua Hakim Negara telah menerima satu surat aduan bertarikh 29 September 2011 dari Karpal yang mendakwa seorang Hakim Mahkamah Rayuan telah memplagiat penghakiman seorang hakim mahkamah Singapura pada tahun 2000.

"Satu siasatan telah dijalankan oleh YAA Ketua Hakim Negara.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan dan setelah berbincang dengan Presiden Mahkamah Rayuan menurut Seksyen 13 (1) Kod Etika Hakim 2009, YAA Ketua Hakim Negara berpendapat bahawa dakwaan plagiarisma oleh Hakim Mahkamah Rayuan seperti yang dibangkitkan oleh YB Encik Karpal Singh adalah tidak mempunyai merit dan aduan tersebut ditolak.

"YB Encik Karpal Singh telah juga dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara ini melalui surat daripada Pejabat Ketua Hakim Negara.," tambahnya.

Sebelum ini, Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor menggesa Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hakim Abdul Malik Ishak supaya meletakkan jawatannya berikutan dakwaan plagiarisme.

Pada 4 Oktober lalu, Karpal mengemukakan usul mengikut Perintah-Perintah Tetap 27 yang dibaca bersama dengan 36 (8) dan Perkara 127 perlembagaan persekutuan, yang mahu dibentangkannya di Dewan Rakyat.

Menurut Karpal yang juga pengerusi DAP, beliau sendiri telah menulis kepada hakim kanan itu pada 22 Ogos lalu dan memberi beliau masa selama tujuh hari untuk menjawab dakwaan berkenaan.

Karpal kemudiannya menulis sepucuk lagi surat pada 29 September lalu dan memberitahu hakim itu bahawa sekiranya tiada jawapan diberikan beliau akan mengandaikan ia sebagai pengakuan salah laku.

Tiada ulasan: