Jumaat, 30 Disember 2011

2011 tahun kejayaan sektor ICT negara

Oleh Nurulhuda Che Das dan Norhayati Mohd Akhir

Kadar penembusan jalur lebar untuk isi rumah merekodkan 62 peratus atau empat juta daripada 6.5 juta isi rumah.



KUALA LUMPUR: Tahun 2011 adalah tahun kejayaan bagi sektor teknologi komunikasi dan maklumat negara apabila kadar penembusan jalur lebar untuk isi rumah merekodkan 62 peratus atau empat juta daripada 6.5 juta isi rumah.

Ini satu peningkatan berbanding 54 peratus tahun lepas, yang turut bermakna negara berada di landasan bagi mencapai sasaran 75 peratus menjelang 2015.

Kerajaan menetapkan sasaran itu sebagai sebahagian inisiatif Bidang Ekonomi Utama Negara bagi meningkatkan kadar penembusan jalur lebar serta merapatkan jurang digital seluruh negara.

Perkhidmatan jalur lebar yang bermutu akan memberi impak besar dalam merangsang ekonomi, menyerlahkan persaingan, memperkukuhkan keyakinan pelabur tempatan dan asing, meningkatkan minda kreatif dan berinovasi, serta sebagai saluran penyebaran maklumat dan pengetahuan kepada rakyat.

Pelbagai faktor menyumbang kepada pencapaian itu termasuk pengagihan netbook 1Malaysia dan pelancaran fasiliti jalur lebar di kampung-kampung di seluruh negara.

Kira-kira 472,900 unit komputer netbook 1Malaysia diagihkan kepada pelajar sekolah bagi fasa pertama dan kedua program.

Sebanyak sejuta netbook diperuntukkan di bawah program itu dengan kos RM1 bilion dan inisiatif dijangka menyumbang 15 peratus kepada kadar penembusan jalur lebar di seluruh negara.

Satu lagi usaha untuk merapatkan jurang digital antara bandar, luar bandar dan pedalaman ialah penubuhan kampung tanpa wayar (kampung WiFi), dan pada masa ini terdapat kira-kira 1,400 kampung WiFi dengan kebanyakannya di Perlis, Sabah dan Sarawak.

Kampung berkenaan dilengkapi sistem perkomputeran biasa dengan kemudahan jalur lebar yang percuma bagi tiga bulan pertama, dan bayaran minimum RM10 sebulan selepas itu.

Kerajaan juga akan meningkatkan usaha membangunkan pelbagai infrastruktur bagi membolehkan negeri seperti Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak menyaingi negeri-negeri lain, sekali gus mencapai sasaran penembusan 75 peratus itu.

Pada masa ini, kadar penembusan di negeri terbabit ialah di bawah 50 peratus kerana bilangan penduduk yang memiliki komputer masih rendah berbanding jumlah rakyatnya.

Isu keselamatan siber

Di sebalik kejayaan itu, Malaysia juga berdepan isu keselamatan siber dan dijangka kerugian RM2.73 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang jika isu tersebut tidak ditangani dengan baik.

Sebanyak 7,404 kes keselamatan siber dikendalikan pusat khidmat bantuan CyberSecurity Malaysia, Cyber999, bagi separuh pertama 2011, iaitu peningkatan 147 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Kes meliputi emel spam dan penipuan, pencurian identiti, phishing, kandungan lucah, malware serta pelbagai lagi termasuk penghendap dan pembuli siber.

Negara juga dikejutkan dengan serangan penggodam ke atas beberapa laman sesawang rasmi kerajaan beberapa bulan lepas.

Serangan penggodam itu menunjukkan tenaga kerja bahagian Teknologi Maklumat mesti sentiasa peka dengan perkembangan teknologi serta sentiasa meningkatkan kemahiran mereka.

Berdasarkan peningkatan ancaman siber itu, lebih banyak langkah proaktif perlu diambil bagi mencegah pengguna internet menjadi mangsa jenayah siber, dan ini memerlukan lebih daripada sekadar meningkatkan undang-undang keselamatan siber sedia ada.

Penubuhan Global Cyber Security Alliance (GSCA) akan membantu menangani ancaman siber menerusi platform antarabangsa bagi meningkatkan keupayaan keselamatan siber negara.

Selain itu, GSCA juga akan membantu membangunkan langkah pencegahan bagi membantu negara bersedia menghadapi ancaman penggodam antarabangsa, serta meningkatkan kerjasama antarabangsa menerusi sektor swasta dalam menangani keselamatan siber
negara. Bernama

Tiada ulasan: