Khamis, 29 Disember 2011

Hormati penjawat awam melalui SBPA

Menurut Nurul Izzah Anwar, penyisihan, pengkelasan dan 'penswastaan' peranan sektor awam mewujudkan perbezaan di antara dua atau lebih tepat - empat darjat.



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata peranan penjawat sektor awam sebagai tunjang perkhidmatan dan penggerak pembangunan negara bukan sahaja dihargai tetapi kebajikan serta suara mereka mesti diberikan ruang dan dihormati.

“Salah satu bukti sektor ini dihormati dan dihargai adalah dengan memelihara maruah para penjawat melalui pendekatan musyawarah di mana, sebagai ‘stakeholder’, pandangan dan pendapat mereka diutamakan serta diambil kira secara tulus.

“Lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara paling asas lagi penting, iaitu Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bukan sahaja dari aspek perundangan malah dari sudut Islam sebagai ‘aqad’ pekerjaan tidak boleh diperkecilkan sehingga kelihatan seperti diperlekehkan,” kata Nurul yang juga naib presiden PKR dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Nurul, penyisihan, pengkelasan dan ‘penswastaan’ peranan sektor awam mewujudkan perbezaan di antara dua atau lebih tepat – empat darjat.

Darjat pertama sanggup mengorbankan segala etika dan peraturan pentadbiran dengan alasan ‘saya yang menurut perintah’ untuk memenuhi kemahuan ahli politik yang lazimnya merugikan rakyat.

Darjat kedua mendapat kontrak kerja mewah untuk hanya menjadi orang tengah dan mandur melakukan kerja yang mampu dilakukan setaraf malah lebih baik oleh profesional penjawat awam seperti yang disaksikan dalam Pemandu.

Darjat ketiga seperti dalam JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) mendapat kelebihan yang melebihi penjawat awam lain.

Dan darjat keempat adalah majoriti berjiwa rakyat yang melakukan kebanyakan tugas dalam diam tetapi diurus dan dimandurkan oleh ketiga-tiga darajat atasan tadi.

Oleh itu katanya, atas semangat solidariti dan ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’ kami dari Pakatan Rakyat menuntut hak asasi semua penjawat awam dipulangkan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Hak asasi penjawat awam ini termasuk menangguhkan pelaksanaan SBPA; memulakan perbincangan ikhlas dan menyeluruh untuk merangka SBPA secara adil dan saksama, tanpa campurtangan pihak-pihak yang berkepentingan serta mereformasikan amalan mendarajatkan penjawat awam, kata Nurul.

Tiada ulasan: