Politik negara terus memanas dengan pelbagai rentetan peristiwa yang menenggelamkan yang lain.
PETALING JAYA: Isu politik menguasai tahun 2011 yang akan berakhir tiga hari lagi. Ia sangat menarik perhatian semua rakyat terutama yang berlaku dalam parti gabungan Pakatan Rakyat.
Ada beberapa individu politik yang sangat popular tahun ini. Mereka tidak syak lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S Ambiga, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Rosmah Mansor, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan beberapa yang lain.
Selain kes liwat Anwar, negara dikejutkan dengan video seks pemimpin popular pembangkang itu yang dianggap perang saraf untuk menambahburukkan tokoh tersebut.
Namun kelihatan tidak berkesan kerana ramai mempertikaikan ketulinannya walaupun PDRM mengesahkannnya.
Sehingga ini kes itu berlalu begitu sahaja.
Ambiga popular kerana perhimpunan Bersih bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil. Beliau juga menyokong seksualiti merdeka yang menyebabkan ratusan laporan polis terhadapnya.
Cincin Rosmah
Muncul Datin Seri Rosmah Mansor sebagai yang menjadi sebutan di kalangan peminat politik terutama generasi muda. Isteri perdana menteri itu dipalikan dengan pelbagai tuduhan terutama oleh sekelompok pemimpin muda PKR.
Antaranya beg tangan mewah dan cincinnya yang dikatakan bernilai juta ringgit.
Muncul tuduhan pihak tertentu kononnya Najib bermasalah dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung konsep 1Malaysia ciptaannya.
Shahrizat juga menjadi perhatian kerana terbabit dalam isu penyalahgunaan dana RM250 juta pusat fidlot nasional (NFC) milik suaminya, Datuk Mohamed Salleh Ismail.
Menteri dan ketua Wanita Umno itu menafikannya tetapi pemimpin Umno dan pembangkang berulang kali mendesak beliau bertanggungjawab dan meletakkan jawatan.
Perhimpunan agung Umno dan muktamar PAS serta kongres nasional PKR dingin. Kecuali kemenangan Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden PAS, perhimpunan ketiga-tiga parti majoriti orang Melayu sepi.
MCA dan hudud
Perhimpunan MCA juga tidak menarik minat kecuali beberapa kenyataan presidennya Datuk Seri Chua Soi Lek dengan bekas presiden Datuk Seri Ong Tee Keat. Selain itu berlaku juga perang mulut Dr Chua dengan pemimpin PAS dalam isu hudud.
Parti Gerakan yang kelihatan tenang tiba-tiba dikejutkan dengan pengumuman Presiden Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke 13 kelak.
Di akhir tahun, muncul pertelagahan dalaman dalam PAS dan DAP. PAS membabitkan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa dengan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali.
DAP pula antara tokoh veteran Karpal Singh dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, P Ramasamy.
Tindakan ahli Parlimen PKR N Gobalakrishnan meninggalkan parti tidak meninggalkan sebarang kesan.
Bagaimanapun, parti itu berdebar menunggu keputususan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah terhadap tuduhan liwat Anwar 9 Januari depan.
Nyawa PKR khususnya terletak pada Anwar. Separuh kekuatan Pakatan Rakyat pula bergantung kepada Anwar.
Perkasa lantang
Di kalangan NGO, Perkasa muncul antara yang paling lantang dengan isu-isu Melayu dan Islam. Tidak ketinggalan NGO bernama Himpun yang membuat penampilan sulung di Shah Alam Julai lalu mahu mempertahankan agama Islam tetapi beberapa kerat sahaja yang menyokongnya.
NGO Anak yang diketuai pemimpin PAS Mazlan Aliman hanya popular di kalangan peneroka Felda.
Akhir sekali mahasiswa dan politik merupakan dua entiti yang tidak dapat dipisahkan. Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diumumkan perdana menteri baru-baru ini menguntungkan mahasiswa tetapi mereka mahu lebih dari itu.
Akibatnya ratusan pelajar berarak dari Dataran Merdeka ke ibu pejabat Umno di PWTC untuk menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.
Malangnya tercetus insiden seorang mahasiswa mencabut bendera yang memaparkan gambar Najib menyebabkan laporan polis dibuat terhadap Adam Adli pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan