Jumaat, 30 Disember 2011

IDEAS: SBPA mesti tidak menjadi beban baru

Medecci Lineil


Apa-apa perubahan dalam skim saraan penjawat awam haruslah melambangkan semangat liberalisasi ekonomi yang ada dalam Model Ekonomi Baru (NEM). Maka dengan itu Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) seharusnya bermatlamatkan mewujudkan perkhidmatan awam yang benar-benar sesuai dengan suasana ekonomi yang semakin liberal dan kompleks.

Semua pihak perlu mengakui peri pentingnya saiz kakitangan awam dirasionalisasikan atau dikecilkan. Langkah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerjaaan dan Upah yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri membekukan pengambilan kakitangan awam di semua peringkat termasuk Kerajaan Negeri, badan berkanun, majlis tempatan dan agensi persekutuan yang berkuatkuasa bermula bulan Mei lalu adalah permulaan baik untuk mengurangkan perbelanjaan emolumen dan mencapai dasar fiskal yang berimbang.

Sejak bermulanya Dasar Ekonomi Baru, kita telah menyaksikan beberapa semakan sistem saraan penjawat awam. Hampir semuanya berakhir dengan kenaikan gaji dan elaun. Tetapi adakah produktiviti dan mutu kerja penjawat awam turut sama meningkat dengan pendapatan mereka? Kenaikan gaji dan upah mestilah berdasarkan kepada produktiviti dan merit.

Bagi saya, kos RM2 billion yang diperlukan untuk penstrukturan kali ini juga adalah terlalu tinggi. Seharusnya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kerajaan dan penjawat awam mencari jalan untuk mengurangkan perbelanjaan, bukannya mencipta beban baru dalam perbelanjaan negara. Ingatlah bahawa perbelanjaan negara ini sebenarnya ditanggung oleh rakyat, bukannya keluar dari poket oleh pembuat dasar di Putrajaya.

Penstrukturan semula skim saraan perkhidmatan awam akan memberi kesan kepada keseluruhan aspek ekonomi, seperti pergerakan buruh dan modal, pendidikan, kadar inflasi, kitaran perniagaan dan juga kadar gaji dan upah di sektor swasta. Maka jika kerajaan masih berpegang dengan matlamat NEM mahu menjadikan sektor swasta sebagai pemacu ekonomi negara, penstrukturan semula sistem saraan penjawat awam mestilah tidak menjejaskan pertumbuhan sektor swasta.

Hakikatnya, kekayaan negara dijana oleh sektor swasta manakala sektor awam pula membelanjakan kekayaan tersebut. Sektor awam tidak menjana hasil. Pendapatan sektor awam adalah diambil daripada kekayaan yang dijana oleh sektor swasta untuk dibelanjakan. Dalam usaha membangunkan ekonomi, kita mesti memastikan mereka yang berbelanja tidak melebihi mereka yang mencipta kekayaan. Skim baru seperti SBPA perlu mengambil kira hal ini.

Apa-apa semakan terhadap skim saraan penjawat awam mestilah memberikan lebih banyak ruang sektor swasta untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Saya juga kecewa apabila kerajaan tidak bertegas dengan "exit policy" yang dicadangkan. Sukar dipercayai bahawa tidak ada cara mudah untuk menghentikan penjawat awam yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan. Dalam sektor swasta, majikan boleh memberi notis beberapa bulan sahaja untuk menghentikan pekerja yang tidak bagus. Tetapi mana logiknya jika mereka yang gajinya dibayar oleh rakyat boleh kekal sehingga bertahun-tahun walaupun mereka jelas lemah? Adakah wang rakyat begitu murah dan boleh dipermainkan sebegitu sekali oleh para penjawat awam yang gagal?

*Kenyataan media oleh Medecci Lineil selaku Eksekutif Kanan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).

Tiada ulasan: