Oleh : Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR : Penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya umum ke-13 nanti bukan jaminan proses pengendalian pilihan raya itu telus, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya mengalu-alukan keputusan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) semalam yang mengumumkan pindaan ke atas peraturan pilihan raya bagi mewajibkan penggunaan dakwat kekal dalam proses pilihan raya menjelang 1 Februari 2012.
“Perubahan kecil ini tidak seharusnya dilihat sebagai jaminan kepada proses pengendalian pilihan raya yang telus, bebas dan bersih sepenuhnya,” kata Ketua Umum KEADILAN itu dalam satu kenyataan media hari ini.
Ini kerana katanya, banyak lagi perubahan yang perlu dibuat oleh PSC terutamanya melaksanakan lapan tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).
“Agensi media awam seperti RTM dan Bernama sewajarnya bersikap lebih adil dalam memberikan liputan untuk semua parti politik dan kempen politik parti-parti pembangkang sewajarnya tidak didiskriminasi menerusi tapisan melampau yang tidak munasabah serta mencabul hak kebebasan bersuara.
“Tempoh masa kempen pilihan raya dilanjutkan dalam memastikan sebaran maklumat sepanjang tempoh berkempen dapat dicapai oleh segenap lapisan rakyat. Tempoh masa berkempen yang terlalu singkat (10 hari), sepertimana Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru sewajarnya tidak berulang,” tegas Anwar.
Menurut Anwar, pengawasan terhadap komitmen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu dijamin menerusi pengukuhan badan kehakiman yang lebih bebas dan adil.
“Justeru, Pakatan Rakyat komited dan menuntut supaya pihak PSC turut menumpukan penambahbaikan proses pilihan raya ini dengan mengkaji serta menimbang secara menyeluruh kesemua tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih dalam menjamin pilihan raya yang bebas, telus dan adil,” katanya.
Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, memperkukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor.
PSC sebelum ini ditubuhkan bagi meneliti sistem pilihan raya akan membentuk rangka kerjanya berdasarkan pada lapan tuntutan Bersih 2.0.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan