Sabtu, 31 Disember 2011

Peniaga TTDI mahu SPRM siasat DBKL

Tiga kali hantar surat kepada Datuk Bandar tapi tiada jawaban.



KUALA LUMPUR: Peniaga Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sama ada wujud penyelewengan dalam perancangan untuk merobohkan kawasan itu.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah berkata keraguan itu timbul apabila
DBKL yang sepatutnya berperanan membantu peniaga kini seperti menjadi satu ‘badan’ perniagaan jual beli tanah.

“DBKL sepatutnya membantu peniaga bukan jadi peniaga yang mahu jual tanah pasar ini dengan nilai RM60 juta,” katanya kepada FMT.

Mohd Ridzuan berkata satu aduan kepada SPRM akan dibuat minggu depan disertai petisyen yang ditandatangani ribuan penduduk dan pengunjung Pasar Besar TTDI dari sekitar Kuala Lumpur.

Difahamkan, pasar yang sudah 25 tahun beroperasi dan menempatkan kira-kira 200 peniaga itu bakal dirobohkan dan digantikan dengan satu projek pembinaan kondominium mewah oleh Naza TTDI.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga Pasar Besar TTDI Jenny Loo berkata pihaknya amat terkilan dengan tindakan DBKL yang enggan mengadakan sebarang dialog atau mengeluarkan notis kepada peniaga sebelum mengumumkannya di media.

Kecewa dan keliru

Loo berkata pihaknya sudah tiga kali menghantar surat kepada Datuk Bandar Tan Sri Ahmad Fuad Ismail bagi mendapatkan penjelasan sejak awal Disember namun masih tiada jawapan diterima.

“Kami bukan anti-pembangunan tetapi DBKL sepatutnya bertindak seperti anak jantan dengan memaklumkan kepada peniaga terlebih dahulu sebelum mengumumkannya di akhbar.

“Cara ini tidak betul seolah-olah kami tidak diberikan sebarang pilihan…kami kecewa dan keliru,” katanya.

Katanya, DBKL sepatutnya megekalkan pasar itu selepas bertindak merobohkan Pasar Besar Gombak, selain mempersoalkan projek ‘gajah putih’ Pasar Besar Datuk Keramat yang dibina sejak tahun 1999 namun masih tidak berfungsi sepenuhnya.

“Sewa tapak Pasar Datuk Keramat RM300 sebulan tapi DBKL sudah bagi bagi diskaun sampai 50 peratus tetapi masih tiada lagi peniaga yang enggan berniaga disitu, ini yang patut dipersoalkan,” katanya.

Sebelum itu, beberapa peniaga dan persatuan penduduk mengadakan protes aman membantah perobohan pasar tersebut sambil mengumpul tandatangan daripada peniaga dan pengunjung untuk petisyen kepada DBKL dan SPRM.

Tiada ulasan: