Jumaat, 30 Disember 2011

Jamil Khir Perlu Jawab, Bukan Pegawai Kerajaan

Oleh TV Selangor


SHAH ALAM: Pengarah Komunikasi Parkti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad kesal dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Muhamad Yamin Ismail yang mendakwa pembangkang sengaja mencipta tomahan kononnya wang zakat digunakan untuk pembayaran kos guaman

Katanya, penyelewengan ini berdasarkan laporan yang didedah sendiri oleh Ketua Audit Negara pada November 2011 namun malangnya Yamin sendiri tidak menyebut tentang ‘pendahuluan' RM63,650 daripada wang zakat.

Yamin juga harus sedar bahawa apabila seorang itu dizalimi, beliau mempunyai hak yang diiktiraf di dalam syarak dan sistem Perlembagaan kita untuk mempertahankan diri mereka.

"Berikutan kenyataan saya semalam, Muhamad Yamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa pembiayaan kos guaman Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dua lagi pegawai kanan MAIWP dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil daripada geran kerajaan.

"Dalam kenyataannya, beliau juga menyalahkan Anwar dan pihak-pihak tertentu yang menyalahgunakan' proses mahkamah terhadap penjawat awam yang menyebabkan dana dan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan proses mahkamah," katanya.

Pada Jun 2011 juga Jamil Khir menafikan penggunaan wang zakat untuk membayar kos guaman ini.

Beliau berharap Jamil Khir sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam Malaysia dapat segera tampil ke hadapan bagi menjawab isu ini dan bukan menyorok di belakang pegawai kerajaan

Pada Jun lalu juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya telah menegaskan sebarang salahguna wang zakat yang disalurkan selain daripada asnaf yang lapan adalah kesalahan dan dosa besar.

"Sekurang-kurangnya apabila isu ini mula-mula timbul peguam Zainul Rijal Talha dan Amir terbuka dalam bertanya tentang pandangan Mufti Wilayah Persekutuan.

"Persoalannya, adakah pandangan tersebut diberikan dan sekiranya ya, apakah pandangan beliau? Yang nyatanya Ketua Audit mengesahkan wang zakat dibayar kepada peguam sebelum dipulangkan hampir enam bulan kemudian pada Disember 2010," ujar beliau lagi.

Tegas Nik Nazmi, amalan dwi-standard tidak perlu wujud dalam kes ini sedangkan sebelum ini terdapat kes amil zakat di Johor, Redzuan Mohd Said yang menyalahgunakan RM19,510 dan memulangkannya tetapi dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan tahun ini.

Tiada ulasan: