Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI) akan mengadakan petisyen untuk mendesak Menteri Pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah meletak jawatan ekoran satu insiden bendera perdana menteri diturunkan oleh seorang mahasiswa.
Kumpulan pro-BN itu bertegas supaya Saifuddin meletak jawatan sekiranya kumpulan pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia, yang menganjurkan demonstrasi ketika insiden tersebut berlaku, tidak memohon maaf atas tindakan tersebut.
Presiden ASPIRASI Mohd Shahar Abdullah berkata pihaknya memberi tempoh sehingga 5 Januari kepada Saifuddin untuk memberi maklumbalas ke atas tuntutan memorandum mereka bertarikh 21 Disember.
Selepas tarikh itu, ASPIRASI akan mula mengutip tandatangan untuk petisyen berkenaan, katanya.
"Hari ini adalah hari kesepuluh (selepas memorandum dihantar). Kita harap ada perkembangan. Kalau beliau tidak mahu bertanggungjawab, Solidariti Mahasiswa Malaysia tidak mahu meminta maaf, kita rasa, Datuk Saifuddin harus meletakkan jawatan.
"Jika beliau ingkar, selepas notis 15 hari dari surat rasmi, (maka) kami akan bertemu dengan semua pihak berkepentingan, pentadbir universiti, pensyarah, mahasiswa dan semua pihak yang ada kepentingan dengan pengajian tinggi, kami akan kutip tandatangan mendesak beliau berundur.
"Kami tidak lupa notis yang diberikan kepada Datuk Saifuddin," tegas Mohd Shahar dalam sidang media di ibu negara pagi ini.
Pada tarikh yang sama, mereka juga menyerahkan memorandum menyokong kepimpinan Najib yang juga presiden Umno.
Demonstrasi berkenaan itu merupakan tindak balas kepada satu lagi perhimpunan yang diadakan kumpulan pro-Mahasiswa di Kuala Lumpur, seminggu sebelumnya.
Perhimpunan kumpulan pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia itu mencetus kontroversi apabila sebahagian daripada mereka bertindak menurunkan satu kain bercetak wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan ibu pejabat Umno.
Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris yang bertanggungjawab menurunkan bendera itu, Adam Adli Abdul Halim sebelum ini dilaporkan tidak akan meminta maaf atas tindakan itu.
Beliau juga menganggap perbuatan tersebut sebagai simbol kemenangan kepada golongan pelajar.
Saifuddin yan juga ahli parlimen Temerloh turut menafikan pembabitan beliau berhubung insiden tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan