Rabu, 7 Disember 2011

Lulus Akta Perhimpunan Aman, BN bakal hilang undi mahasiswa

Oleh: Sidiqin Omar

PUTRAJAYA: Umno-BN bakal kehilangan undi mahasiswa pada pilihan raya umum akan datang apabila meluluskan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang bertentangan dengan perlembagaan dan demokrasi.


Demikian ‘manifesto’ yang dinyatakan wakil-wakil kesatuan mahasiswa dalam himpunan aman membantah penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman di depan Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.

“Apakah Malaysia sudah menjadi negara polis hingga rakyat tak dibenarkan bersuara? Mana agenda tranformasi yang dilaungkan Perdana Menteri Najib Razak?

“Fokus RUU PA ini jelas untuk menyekat suara mahasiswa, sedangkan kami adalah golongan semak dan imbang.

“Kami tahu di mana akan pangkah,” kata Akram Ikrami, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis).

Kira-kira 50 aktivis mahasiswa berarak dari Masjid Putra, Putrajaya menuju Seri Perdana selepas solat Zohor untuk menyerahkan memorandum bantahan RUU PA yang dibentangkan kerajaan di Dewan Rakyat, minggu lalu.


Antara yang hadir termasuk dari Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

Mereka melaungkan slogan ‘tuntut himpunan aman’, ‘tolak akta zalim’, ‘hidup mahasiswa, ‘tolak AUKU’ dan ‘hidup rakyat’ sambil membawa sepanduk tertera perkataan ‘demokrasi mati’ dan ‘mahasiswa bukan lembu fidlot’

Kumpulan mahasiswa berkenaan turut berjalan sejauh kira-kira 500 meter sambil diperhatikan beberapa anggota polis beruniform dan preman yang diiringi sebuah kereta peronda.

Selepas perbincangan dengan pihak berkuasa lima wakil dibenarkan memasuki bangunan Seri Perdana dan menyerahkan memorandum kepada wakil Pegawai Sulit Perdana Menteri, Saiful Azhar.


Menyentuh isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berkata, surat jemputan debat telah dihantar kepada Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang.

“Ini tawaran mahasiswa kepada kerajaan dan pembangkang. Mana pihak yang akan membebaskan mahasiswa dan ahli akademik,” katanya memaklumkan tarikh debat AUKU akan dimaklumkan selepas menerima jawapan rasmi Perdana Menteri.

Tiada ulasan: