Khamis, 29 Disember 2011

Selangor mungkin tidak bubar DUN jika PRU awal

Oleh Amaluddin Zhafir


SHAH ALAM– Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yakin dengan prestasi ekonomi negeri dan kekuatan jentera pilihan rayanya untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri jika pilihan raya umum ke-13 diadakan sebelum Jun 2012.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, tidak ada bahayanya jika kerajaan negeri mengadakan pilihan raya lewat daripada PRU13 walau pun menyedari negeri itu akan menjadi sasaran khusus oleh jentera Barisan Nasional.

Katanya, sama ada pilihan raya negeri diadakan serentak dengan PRU13 atau tidak, ia tidak menjadi masalah kerana yang lebih penting ialah apa yang rakyat dapat melalui pelbagai program-program yang telah dilaksanakan kerajaan negeri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, kerajaan negeri telah pun meluluskan Belanjawan Selangor 2012 yang mana diperuntukkan RM1.6 bilion bertemakan Selangorku: Hasil Negeri Untuk Rakyat.

“Kalau tahun depan ada pilihan raya dalam dua atau tiga bulan pertama, bagaimana saya sempat terjemahkan belanjawan itu kepada rakyat Selangor?”

“Hujah saya ialah, saya mahu membuktikan kepada rakyat tanpa mengira apa yang kerajaan persekutuan buat. Saya akan melakukan yang terbaik untuk rakyat sebaik mungkin yang setakat yang saya fikir saya mampu lakukan,” katanya kepada Roketkini.

Jelas Khalid, Selangor adalah gambaran kepada ekonomi Malaysia kerana negeri itu menyumbangkan tidak kurang dari 25 peratus dari ekonomi Malaysia.

“Itulah sebabnya BN tidak tidur lena. Ekonomi Selangor akan melonjak dengan pelbagai program dan urus niaga yang akan dilakukan.

“Negeri-negeri di bawah UMNO akan berhadapan masalah, tetapi Selangor tidak akan berada dalam keadaan yang tidak selesa seperti itu,” katanya.

Tambah beliau, sama ada bahaya atau tidak kepada Pakatan jika Selangor mengadakan pilihan raya selepas Jun 2012, ianya terletak kepada rakyat.

“Anggarkan begini, cuma ada dua kesan yakni kita kalah atau menang. Jika kita menang, jelas usaha kita mendapat sambutan rakyat. Jika kita kalah, kita masih ada peluang lagi pada pilihan raya seteusnya (PRU14)… Kita perlu lawan kembali sehingga menang,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: