Jumaat, 30 Disember 2011

‘Imej maya’ dalam MyKad baru dapat elak kad dipalsu, kata JPN


PUTRAJAYA — Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan “MyKad dengan strukur baru” pada 3 Januari yang dipertingkatkan ciri keselamatan dan dapat menangani pemalsuan kad itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Jariah Moh Said berkata agensi itu menggunakan “teknologi laser terbaru” untuk mencetak MyKad baru yang mempunyai “imej maya” pemegang kad yang tidak boleh dibuang.

“Biasanya mereka akan mengubah warna foto. Tetapi jika anda mencuba untuk ubah imej maya ia akan memusnahkan keseluruhan kad,” katanya kepada pemberita sambil menambah imej itu akan dicetak di bawah lapisan permukaan kad.

Wakil rakyat pembangkang telah mendakwa Barisan Nasional (BN) telah memberi MyKad kepada sekurang-kurangnya 1,600 warga asing antara Mac hingga Jun untuk mengundi pemerintah pada pilihan raya umum akan datang.

Pakatan Rakyhat juga mendakwa pada Ogos lalu seramai 1,108 pemastautin tetap di Lembah Klang telah diberikan status kewarganegaraan dalam satu hari sahaja.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menubuhkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk mengkaji transformasi pilihan raya negara.

Jariah juga berkata kad baru itu dibuat daripada polikarbonat yang lebih kuat dan dilengkapi mikrocip berkualiti tinggi yang boleh mencapai kapasiti 80 kilobait (kb) berbanding 64 kb yang digunakan sekarang.

Beliau menambah langkah itu diambil berikutan aduan-aduan yang dikemukakan terhadap MyKad yang mula dikeluarkan pada 2000 tidak tahan lama dan mikrocip sering tidak boleh dibaca mesin pengimbas.

Walaupun enggan mendedahkan jumlah aduan yang dikemukakan kepada JPN namun beliau berkata kos untuk mengeluarkan setiap MyKad hanya RM24.50 berbanding RM27.20 sebelum ini.

Semasa dilancarkan, MyKad asal dikatakan berkebolehan mencapai fungsi tambahan seperti maklumat lesen memandu dan perdagangan elektronik.

Tetapi kebanyakan fungsi-fungsi itu tidak berjaya disebbakan kekurangan sambutan pasaran dan kad pintar tidak boleh dikesan.

MyKad baru yang akan diperkenalkan di Shah Alam dan Putrajaya pada 3 Januari ini akan dikeluarkan di seluruh negara dalam tempoh enam minggu selepas itu.

Tiada ulasan: